PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071204

56. Tiga penyakit berkaitan merokok makin meningkat

BERAPA banyak wang yang telah anda belanjakan untuk merokok pada setiap minggu dan setiap tahun?

Isu ini sudah lama diperkatakan di kalangan masyarakat baik dari segi memudaratkan kesihatan atau pembaziran wang ringgit.

Kementerian Kesihatan sendiri melaporkan, tiga juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari bagi membeli rokok.

Angka yang dibelanjakan itu dikatakan terus meningkat berikutan semakin ramai remaja mula merokok.

Mengikut statistik Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, jumlah perokok di Malaysia diramal meningkat kepada 3.8 juta orang pada tahun 2015 dan lebih empat juta menjelang 2020.

Peningkatan jumlah perokok itu menyebabkan lebih 10,000 kes kematian di kalangan perokok direkodkan setiap tahun.

Menurut fellow kanan penyelidikan Institut Antarabangsa bagi Kesihatan Global Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-IIGH), Prof. Dr. Syed Mohamed Aljunid, kerajaan perlu membelanjakan RM3.5 bilion pada tahun ini bagi memberi rawatan kepada perokok yang menderita tiga jenis penyakit berpunca daripada tabiat buruk mereka itu.

“Jumlah ini adalah kira-kira separuh daripada peruntukan tahunan yang diberi kepada Kementerian Kesihatan dan hampir satu peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Pada tahun-tahun akan datang, lebih banyak perokok dijangka menghidap barah paru-paru, penyakit jantung iskemia dan penyakit saluran udara tersumbat kronik, yang akan memakan wang rakyat berjumlah berbilion ringgit,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, baru-baru ini,

Dr. Syed Mohamed merupakan ketua penyelidik mengenai unjuran kos penjagaan kesihatan Malaysia bagi tiga penyakit berkaitan merokok 2004-2010.

Kajian beliau menunjukkan bahawa antara 23 peratus dan 25 peratus penduduk Malaysia terdedah kepada tiga penyakit berkenaan.

Pecahan demografi menunjukkan bahawa hampir separuh (49 peratus) daripada penduduk dewasa lelaki, 5 peratus penduduk wanita dewasa dan 13 hingga 15 peratus penduduk remaja negara ini adalah perokok.

Tambah beliau, jika langkah pencegahan tidak diambil, sebanyak RM3.8 bilion perlu dibelanjakan pada 2010 bagi merawat mereka yang menghidap penyakit ini.

Beliau menjelaskan, walaupun Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan RM7 bilion setahun, tetapi pada tahun ini, separuh daripada jumlah itu dibelanjakan bagi merawat tiga penyakit berkaitan merokok.

“Kerana perokok, kerajaan tidak dapat menyalurkan dana itu kepada bidang lain dalam penjagaan kesihatan lain.

“Tetapi, bukan itu saja. Banyak lagi beban yang dijangka terpaksa dipikul oleh kerajaan akibat kedegilan rakyat negara ini yang terus merokok.,” jelasnya.

INFO UNU-IIGH

* Ditubuhkan di Malaysia pada 1 Mac 2007 apabila Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) memeterai perjanjian dengan kerajaan untuk menubuhkan sebuah pusat antarabangsa bagi kesihatan global di Malaysia pada Mei 2006.

* Misi institut ini untuk menjalankan penyelidikan bermutu tinggi dalam bidang kesihatan awam, mengawal penyakit baru muncul, teleperubatan dan perubahan dalam kewangan kesihatan.

* Ia mula beroperasi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sejak Jun 2007.

* UNU merupakan institusi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpusat di Tokyo yang mempunyai 12 pusat penyelidikan dan latihan di seluruh dunia yang masing-masing mempunyai fokus berlainan.

Panduan untuk individu yang merokok

* Pilih gaya pemakanan sihat, dengan mengambil buah- buahan dan sayur-sayuran segar. Contohnya, tomato, kentang, brokoli dan buah oren kerana ia merupakan sumber makanan yang kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral-mineral penting.

* Sekiranya anda seorang yang perokok dan ingin berhenti merokok, anda perlulah mempunyai semangat dan inisiatif yang tinggi.

* Alihkan perhatian anda daripada merokok kepada melakukan sesuatu yang berfaedah bagi mengisi masa lapang.

* Minum banyak air bagi membantu menyingkirkan bahan toksik dari badan terutama yang terhasil daripada asap rokok.

* Penuhi jadual harian anda dengan bersenam atau beriadah.

* Tingkatkan pengetahuan tentang bahaya merokok serta kesihatan dan dapatkan bantuan di hospital.

No comments: