Semua permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya akan dilaksanakan secara dalam talian (online) sepenuhnya mulai tahun depan.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, permohonan boleh dibuat di laman web KPT di www.mohe.gov.my.
Kata kenyataan itu, langkah tersebut adalah untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kementerian serta melancarkan pengurusan permohonan kemasukan ke IPTA.
Kenyataan itu menyebut, permohonan kemasukan itu akan dilakukan dalam dua fasa iaitu pendaftaran permohonan untuk fasa pertama manakala fasa kedua adalah untuk mengesahkan permohonan.
‘‘Fasa pertama mula dibuka pada 12 November lalu sehingga 31 Disember ini. Pemohon perlu mengisi nombor kad pengenalan dan kata laluan selain maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan ibu bapa, kategori permohonan dan maklumat kokurikulum.
‘‘Fasa kedua pula akan dibuka bermula 4 Februari tahun depan mulai pukul 12 tengah hari dengan menggunakan nombor unik pengenalan diri yang boleh dibeli pada harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional di seluruh negara,’’ kata kenyataan itu.
Calon hanya dibenarkan mengemukakan sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi SPM 2007 diumumkan.
UM 15/12/07
No comments:
Post a Comment