PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071204

59. Kadar bayaran di hospital swasta bimbangkan kerajaan

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek melahirkan rasa bimbang terhadap kadar bayaran hospital swasta, yang semakin hari semakin meningkat dan mempunyai unsur-unsur untuk mengaut keuntungan.

Beliau berkata, kerajaan, yang bimbang dengan kadar bayaran hospital swasta, telah berbincang mengenainya dalam mesyuarat Kabinet.

“Kabinet berasa khuatir berhubung kadar bayaran tinggi yang dikenakan oleh hospital swasta dan pemeriksaan yang tidak perlu.

“Ini bukanlah satu perkara mudah untuk dibendung, malah untuk disiasat kerana sebilangan doktor akan berasa bahawa pemeriksaan tertentu itu perlu meskipun ia boleh dipersoal dan menimbulkan perbalahan.

“Bayaran yang dikenakan oleh doktor semakin meningkat kerana kos penjagaan kesihatan naik ekoran ubat-ubatan, peralatan, teknologi maklumat dan komersialisme amalan perubatan.

“Amalan perubatan kini bukan hanya merawat mereka yang sakit, tetapi juga bentuk perniagaan yang diceburi dan keuntungan penting bagi pemegang saham,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini hari ini.

Dr Chua berkata, orang ramai berhak membuat aduan dan boleh mengemukakan aduan mereka kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan MMA akan melihat perkara seperti amalan tidak beretika doktor.

“Jadi saya timbulkan kes mengenai seorang doktor yang melawat pesakitnya sebanyak 15 kali dan setiap rawatan dikenakan bayaran RM200, jadi sejumlah RM3,000 untuk rundingan bagi sehari.

"Ada satu lagi kes seorang doktor melawat pesakitnya 10 kali dan setiap lawatan RM200 jadi RM2,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata, MMA mempunyai kuasa dan peruntukan untuk mengambil tindakan bergantung kepada tahap kesalahan etika sama ada dalam amaran, digantung atau dipecat.

Selain itu, katanya, terdapat isu berhubung syarikat insurans yang kononnya menghadkan bayaran dan ujian-ujian tertentu yang boleh dijalankan oleh doktor.

MMA, katanya, tidak senang hati dengan tindakan syarikat insurans terbabit.

“Kami memberi jaminan bahawa syarikat insurans juga tertakluk kepada Akta Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta di mana syarikat insurans yang menawarkan perkhidmatan ini kena berdaftar dengan kami dan tertakluk kepada peruntukan yang termaktub dalam akta tersebut,” katanya.

Dr Chua berkata, ini termasuk doktor yang memberi perkhidmatan kepada pesakit di bawah syarikat insurans itu.

“Kementerian (Kesihatan) berpendapat bahawa pengamal perubatan dari segi clinical judgement (penilaian klinikal), seharusnya mempunyai kebebasan masing-masing dan tidak seharusnya dikompromi oleh syarikat insurans terbabit,” katanya.

Katanya, MMA turut menyuarakan kebimbangan terhadap institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTA) yang tumbuh macam cendawan menawarkan kursus perubatan, iaitu sebanyak 20 buah iaitu 10 IPTA dan 10 IPTS.

“Kementerian berpendapat bahawa soal latihan semasa di universiti bagi kursus perubatan seharusnya diberi perhatian dari segi mutu dan kualiti untuk melahirkan pengamal perubatan yang berkemahiran dan berpengetahuan,” katanya.

Chua berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memantau bagi menjamin tahap kualiti latihan di IPT.

- Bernama (Utusan Malaysia 2/12/2007)

No comments: