Kami bawa anda mendekati, mendalami dan menghayati isu-isu dan fakta terkini.
PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG
20071216
95. Isu - AS tipu untuk serang Iran
LAPORAN perisikan Amerika Syarikat (AS) atau NIE bahawa Iran menghentikan program senjata nuklearnya empat tahun lalu menimbulkan sedikit tanda tanya.
Ini kerana ia amat bertentangan dengan laporan itu dua tahun lalu yang dengan penuh yakin menyebut Iran sedang membina senjata nuklear meskipun menerima tekanan antarabangsa.
Adakah ini bermakna laporan perisikan pada 2005 itu palsu dan sengaja direka-reka supaya dunia percaya dengan pembohongan Washington itu?
Laporan NIE mengesahkan penilaian badan pengawas tenaga atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa Teheran ‘tidak mendatangkan bahaya’ kepada dunia.
Pada masa yang sama, perisikan itu mendapati tuduhan bahawa Iran berusaha untuk memiliki senjata itu sengaja dibesar-besarkan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun.
Unjuran NIE, telah mencetuskan keraguan baru terhadap kredibiliti White House yang sememangnya telah tercalar sejak lima tahun lalu selepas AS menakluk Iraq hanya berdasarkan amaran yang palsu.
Jika dilihat daripada laporan perisikan AS itu ternyata ia mengemukakan tamparan kepada dasar luar AS terhadap Iran serta segala alasan yang dikemukakan bagi mengenakan pusingan ketiga sekatan ke atas Iran.
Antara alasan utama AS ialah Iran secara sulit sedang memajukan program senjata nuklearnya di sebalik program tenaga nuklear.
Walaupun banyak pihak lega dengan laporan perisikan AS itu tetapi sejauh mana ‘kuasanya’ sehingga dapat menyekat rancangan Washington untuk terus mengenakan sekatan ke atas Teheran?
Dapatkah laporan itu juga memberikan kuasa kepada PBB bagi menghentikan terus rancangan AS hendak menyerang Iran? Dapatkah masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan ke atas AS supaya tidak menyerang Iran?
Soalan-soalan yang ditimbulkan itu penting kerana China dan Rusia agak keberatan untuk bersama-sama AS dalam rancangannya mengadakan lagi sekatan secara unilateral atau multilateral itu.
Pada Oktober lepas, Presiden AS, George W. Bush membayangkan tentang ‘Perang Dunia III’ atau ‘perang nuklear’ jika Iran mempunyai senjata nuklear dan tersilap dalam dakwaannya bahawa Teheran secara terbuka mengakui berhasrat memilikinya.
Pandangan itu dipersetujui oleh 16 agensi perisikan AS berkata, tiada usaha yang jelas bahawa Iran mahu mengadakan senjata nuklear dan tindakan menghentikan program yang belum dilaksanakan itu, mempercayainya adalah disebabkan tekanan kuat antarabangsa.
Rumusan juga dibuat bahawa program tersebut kemungkinan dihentikan pada peringkat awal lagi akibat tekanan antarabangsa dan negara itu mungkin merasakan mudah terdedah terhadap kesan isu tersebut berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini.
Namun apa yang lebih penting daripada laporan itu ialah cara ia dikemukakan yang bukan sahaja memalukan White House tetapi seluruh kepimpinan politik Amerika Syarikat.
Adakah kerajaan AS selama ini dengan sengaja menyembunyikan segala laporan perisikan yang benar mengenai Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran sehingga membawa kepada kemusnahan negara tersebut?
Bagaimana pula laporan NIE pada 2005 itu? Adakah perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan AS?
Dalam laporan NIE kepada media minggu lalu, Penasihat Keselamatan Nasional Stephen Hadley mengakui bahawa Presiden AS, George W. Bush telah dimaklumi mengenai laporan perisikan terkini mengenai program nuklear Iran seawal Ogos lagi.
Bush yang mengesahkan perkara itu menyatakan pada sidang media dengan menyatakan: “Pada Ogos lalu, saya fikir (Pengarah Perisikan Nasional) Mike McConnell masuk dan berkata, ‘Kami mempunyai maklumat baru’, tetapi dia tidak beritahu apakah maklumat itu.”
Adakah Bush yang sedang ‘mabuk’ dengan propaganda berperang tidak berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai maklumat perisikan terbaru itu dan menunggu sehingga empat bulan kemudian untuk menerima laporan rasminya?
Hakikatnya sekitar Ogos pentadbirannya sedang rancak terlibat dalam kempen propaganda bermusuh dengan Iran.
Bush menyampaikan ucapan-ucapan ‘putar belit’ dengan alasan-alasan yang tidak dapat dibuktikan seperti Iran bertanggungjawab kepada siri serangan pejuang Iraq ke atas tentera Amerika dan mengancam dunia dengan malapetaka serangan nuklear ke atas Iran.
AS yang sedang mengadakan provokasi ke atas Iran itu telah menahan para pegawai diplomatiknya di Iraq.
Kemudian White House mengumumkan pasukan keselamatan Iran iaitu Pengawal Revolusi Islam (IRGG) sebagai ‘pertubuhan pengganas’.
Dalam kempen ini AS nampak sanggup mengambil laporan palsu bagi menghalalkan peperangan ke atas Iran.
Agak mustahil jika Bush dan Naib Presidennya Dick Cheney tidak ingin mengetahui apakah maklumat baru yang diterima.
Rencana oleh: ISMAIL HASHIM YAHAYA UM 15/12/07
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment