Kami bawa anda mendekati, mendalami dan menghayati isu-isu dan fakta terkini.
PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG
20071213
92. Fakta - Milosevic dipenjara 33 tahun -- Jeneral Serb Bosnia bersalah arah bunuh penduduk awam Sarajevo
THE Hague, Belanda 12 Disember 2007 : Bekas jeneral Serb Bosnia, Jeneral Dragomir Milosevic hari ini dihukum penjara 33 tahun selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mengarahkan pembunuhan orang awam dalam serangan ke atas Sarajevo.
Milosevic, 65, tidak menunjukkan sebarang emosi semasa keputusan itu dibacakan.
Dia didapati bersalah terhadap lima tuduhan termasuk mengetuai satu kempen keganasan, pembunuhan dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
Bekas jeneral Serb Bosnia ini tidak mempunyai sebarang hubungan persaudaraan dengan bekas Presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic, yang mati pada 2006 sebelum perbicaraan atas tuduhan penghapusan etnik terhadapnya selesai.
Tribunal Jenayah Yugoslavia di sini mendapati, askar-askar Serb yang diketuai oleh Milosevic telah membunuh penduduk Sarajevo termasuk mangsa paling muda berusia dua tahun dan yang paling tua, 80 tahun pada 1994 dan 1995.
Mangsa-mangsa dibunuh dengan melepaskan tembakan curi dan melancarkan bom mortar sepanjang operasi itu.
“Tiada tempat selamat di Sarajevo. Penduduk di bandar itu boleh terbunuh atau cedera ditembak pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” kata ketua panel hakim, Patrick Robinson semasa membaca keputusannya.
Menurut keputusan tribunal yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) itu, bukti-bukti yang dikemukakan memberi gambaran yang menggerunkan bagaimana penduduk Sarajevo dikepung dan diserang oleh tentera Serb Bosnia yang menganggotai Kor Romanija Sarajevo (SRK) atas arahan Milosevic.
Kepungan selama 44 bulan ke atas ibu negeri Bosnia itu, yang diletakkan di bawah pengawasan Milosevic selama 15 bulan, salah satu daripada lembaran paling hitam dan paling panjang dalam sejarah peperangan Balkan yang membawa kepada perpecahan Yugoslavia.
Milosevic, yang mengetuai 18,000 askar Serb Bosnia yang menyerang dan mengepong Sarajevo antara Ogos 1994 hingga November 1995, menyangkal kesemua tuduhan terhadapnya.
Beliau sebaliknya berkata, keadaan di Sarajevo sudah menjadi seperti medan perang semasa bandar itu dikepung dan askar-askarnya melancarkan operasi tentera yang sah di sisi undang-undang.
– AP: U.M. 13/12/07
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment