BERKUNJUNG ke Sydney, Australia yang cukup masyhur dengan Sydney Opera House dan Sydney Harbour Bridge, membuka mata penulis bahawa kecantikan dan keindahan setiap bandar raya bukan saja bergantung kepada kebijaksanaan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah turut dipikul warganya.
Gabungan reka bentuk bangunan moden kontemporari dan kolonial yang boleh dilihat di merata tempat bandar raya itu mengingatkan penulis kepada bandar raya Kuala Lumpur. Namun, apa yang membezakan antara dua bandar raya ini ialah sikap warganya terutama apabila membabitkan pengurusan sampah, keramahan penduduk dan etika pemanduan warganya yang perlu dicontohi rakyat negara ini.
Penduduk Sydney memperlihatkan sikap kelas pertama dalam aspek pengurusan sampah dan berhemah di jalan raya. Bandar raya Sydney yang cukup cantik itu bertambah indah apabila warganya mempunyai disiplin diri tinggi terutama menjaga kebersihan, malah untuk melihat sampah berlonggok pun sukar. Walaupun penduduk Sydney kelihatan lebih suka makan sambil berjalan ketika dalam perjalanan ke sesuatu tempat mereka seolah-olah dididik supaya membuang bekas makanan ke dalam tong sampah, bukannya dicampak merata-rata.
Di Kuala Lumpur, pandangannya pula agak berbeza. Kita pasti akan terserempak orang yang membuang sampah di dalam longkang, tepi jalan, dalam pengangkutan awam, di celah pokok bunga dan sebagainya sehingga mencacatkan pandangan. Bukan mahu mengata penduduk negara sendiri, tetapi itulah hakikat yang perlu diterima rakyat Malaysia.
Malah, apa yang lebih mengecewakan ialah apabila notis yang ditampal PBT mengenai larangan membuang sampah di sesuatu kawasan sekadar dipandang sepi. Ia berbeza sekali dengan apa yang berlaku di Sydney. Berdasarkan pengalaman ketika kunjungan singkat ke sana baru-baru ini, penulis mendapati sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney menuju Hotel Rendezvous yang mengambil masa hampir 30 minit, sukar sekali untuk melihat sampah berlonggok atau bertaburan di bandar raya itu. Sememangnya, penulis sangat mengagumi semangat dan tanggungjawab warga Sydney yang peka dan prihatin dengan kebersihan.
Jika kebanyakan pemandu di Kuala Lumpur seolah-olah sentiasa mengejar waktu sehingga ada yang sanggup mengabaikan lampu merah dan sukar sekali memberi laluan kepada pengguna jalan raya yang di lintasan pejalan kaki, di Sydney pula berlaku sebaliknya. Di sana, pemandunya lebih beretika dan berhemah dalam mengutamakan keselamatan pejalan kaki, walaupun di laluan itu tiada disediakan lampu isyarat.
Pendek kata, etika pemanduan warga Sydney begitu menghormati dan mengutamakan keselamatan pejalan kaki apabila dengan mudahnya memberi laluan kepada pejalan kaki melintas jalan sambil mengucapkan selamat. Sekiranya di Kuala Lumpur janganlah diharap sangat untuk melintas jalan ketika kenderaan bertali arus, tentu saja ada pemandu yang memaki anda dengan kata-kata cukup menyakitkan hati seolah-olah jalan itu milik mereka.
Sebelum ini kita pernah mendengar sikap perkauman yang masih menebal di Australia terhadap orang Asia, seharusnya pandangan itu disingkirkan saja. Mereka sebenarnya sangat peramah dan mudah mesra dengan orang asing. Oleh itu, janganlah hairan sekiranya ada warga Sydney yang mengucapkan selamat dan beramah mesra dengan anda walaupun itu hanya pertemuan pertama. Sekiranya ucapan selamat bagi menyambut kehadiran anda di hotel adalah sesuatu yang biasa, namun di Sydney ucapan itu akan dituturkan di mana-mana saja termasuk di pasar, tepi jalan serta kawasan tumpuan pelancong. Lebih daripada itu, warga Australia terutama di kalangan lelaki sentiasa memberi keutamaan kepada wanita apabila mahu menaiki pengangkutan awam atau beratur di kaunter pembayaran.
Penulis sedar ramai rakyat negara ini mempunyai sikap budi bahasa dan hormat-menghormati yang tinggi walaupun hidup dalam masyarakat majmuk, tetapi dalam kemurnian sikap yang ada ini, ada juga yang langsung tidak mengendahkan perasaan orang lain. Malah, ada yang sanggup berebut dengan wanita ketika mahu mendapatkan tempat seperti dalam bas, tren, teksi atau berbaris ketika berurusan di kaunter.
Bagaimanapun, yang baik kita harus jadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
No comments:
Post a Comment