JANGAN GHAIRAH DAFTAR DENGAN AGENSI CARI KERJA
Ketika lebih 353,000 pencari kerja di seluruh negara sedang mengharapkan jawatan tetap, mereka mungkin terdedah dengan perangkap agensi pekerjaan yang wujud secara haram, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sheikh Yahya Sheikh Mohamed hari ini.
Beliau berkata, setakat ini jabatan itu mengambil tindakan terhadap tiga agensi pekerjaan yang beroperasi secara haram dan usaha berterusan sedang dilakukan bagi mengesan agensi tanpa lesen yang mengambil kesempatan daripada keghairahan pencari kerja untuk menamatkan zaman pengangguran mereka.
‘‘Agensi itu bijak mempengaruhi pencari kerja supaya mendaftar dengan mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran karnival kerjaya anjuran kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Pemuda UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Jabatan Tenaga Kerja di Institut Latihan Perindustrian Behor Pulai di sini.
Karnival dua hari itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Sheikh Yahya berkata, janji manis yang dibuat akhirnya meninggalkan sejarah hitam kepada pencari kerja apabila mereka yang tertipu tidak ditawarkan sebarang pekerjaan selepas membayar yuran yang tinggi.
MAJIKAN DAWASI ELAK TINDAS PEKERJA
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan melakukan pemeriksaan ‘habis- habisan’ ke atas syarikat yang berdaftar di bawahnya di seluruh negara bagi memastikan semua mengikut peraturan dan tidak menindas pekerja.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, operasi itu perlu dilakukan memandangkan masih banyak majikan atau syarikat yang melanggar peraturan di bawah Akta Kerja 1955.
Beliau berkata, sejak kebelakangan ini akhbar banyak melaporkan kes majikan menindas pekerja dan banyak juga majikan tidak mematuhi Akta Kerja.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Pekerjaan 2007 Peringkat Negeri Perlis di sini hari ini.
Karnival dua hari anjuran JTK Kedah/Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pemuda Barisan Nasional itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurut Sheikh Yahya, setakat 30 November lalu, 490 syarikat didapati melanggar peraturan di bawah Akta Kerja 1955.
Daripada jumlah itu, katanya, 47 syarikat dikompaun dan 30 lagi dalam proses pendakwaan manakala selebihnya diberi amaran.
“Sebahagian besar kesalahan ialah tidak mengambil insurans perlindungan sepenuhnya untuk pekerja yang diwajibkan di bawah Akta Kerja 1955.
“Misalnya, kalau syarikat itu mempunyai 100 pekerja, semua pekerja itu wajib mempunyai insurans perlindungan tetapi syarikat hanya mengambil insurans untuk separuh atau 50 pekerja. Ini melanggar Akta Kerja,” katanya.
Sheikh Yahya berkata, insurans perlindungan pekerja wajib diambil oleh majikan bagi menjaga kebajikan pekerja dan perkara itu diketahui oleh semua syarikat seluruh negara.
“Masih ada syarikat yang berdegil. Oleh itu JTK tidak akan berkompromi dan akan terus melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, JTK akan turut memantau syarikat yang beroperasi tanpa lesen dan yang tidak menyatakan nombor kelulusan ketika beroperasi.
“Pencari kerja juga dinasihatkan merujuk kepada JTK sebelum memohon kerja dengan sesebuah syarikat untuk memastikan ia berdaftar dengan jabatan itu. Ini bagi mengelak pencari kerja tertipu,” katanya.
Menurut Sheikh Yahya, terdapat kira-kira 500,000 syarikat berdaftar di bawah JTK.
UM 15/12/07
No comments:
Post a Comment