PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071202

45. PROTON KEMBALI UNTUNG


(DARI kiri) Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir dan Mohammed Azlan Hashim ketika mengadakan sidang akhbar di Proton di Shah Alam.

Proton Holdings Berhad (Proton) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.951 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September lalu setelah mencatatkan kerugian berterusan sejak lima suku atau lima belas bulan sebelum ini.

Keuntungan itu dicapai bersandarkan perolehan RM1.31 bilion, naik berbanding RM1.27 bilion pada suku sebelumnya berikutan peningkatan jualan kenderaan penumpang keluaran Proton terutama model Persona dan pengurusan kos yang lebih cekap.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, namun begitu, Proton terus mencatatkan kerugian sebanyak RM41.9 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa, lebih rendah berbanding RM336.02 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun kewangan yang lalu.

“Untuk suku ketiga dan keempat tahun kewangan semasa pula, Proton menjangka keputusan kewangan positif berdasarkan prestasi jualan model semasa Proton terutama Persona pada bulan Oktober dan November yang lalu serta rancangan untuk memperkenalkan model baru BLM pada bulan Januari tahun hadapan,” kata beliau.

Syed Zainal berkata demikian semasa sidang akhbar pengumuman keputusan kewangan Proton yang turut dihadiri Pengerusi Proton, Datuk Mohammed Azlan Hashim di sini, hari ini.

Kali terakhir pengeluar kereta nasional tersebut mencatatkan keuntungan ialah pada tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2006 apabila mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM28.2 juta.

Selepas suku berkenaan, Proton ditimpa pelbagai masalah terutama dari aspek persepsi pelabur dan pelanggan serta rundingan bagi mencari pakatan strategik selain terus mencatatkan kerugian selama lebih setahun sehingga suku kedua tahun kewangan semasa.

Proton berjaya menjana jualan sebanyak 34,320 buah kereta penumpang pada suku kedua tahun kewangan semasa, naik 22 peratus berbanding 28,145 buah kenderaan pada suku pertama yang lalu.

Dengan kenaikan itu, Proton ketika ini menguasai 33.1 peratus pasaran kereta penumpang di negara ini berbanding 26.5 peratus pada suku sebelumnya.

Industri automotif tempatan terus menyaksikan suasana persaingan yang lebih mencabar setelah jumlah jualan kereta penumpang keseluruhan jatuh tiga peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Baru-baru ini, pemegang saham terbesar Proton, Khazanah Nasional Bhd. mengumumkan tidak akan meneruskan sebarang rundingan dengan Volkswagen AG (Volkswagen) dan General Motors Corporation (GM) berhubung pakatan strategik dengan Proton.

Menurut Khazanah, keputusan itu dibuat selepas kerajaan membenarkan Proton beroperasi secara bersendirian berikutan perkembangan positif dalam syarikat kereta nasional itu dari segi jualan domestik dan eksport.

Mengulas lanjut, Syed Zainal berkata, dengan keputusan kewangan itu, Proton berjaya melonjakkan keuntungan bersih syarikat tersebut kepada RM3.51 juta berbanding kerugian bersih RM250.34 sebelum ini.

Dari segi kemajuan yang ditunjukkan oleh sejumlah 303 pengedar Proton pada masa ini berbanding 362 pengedar pada bulan Disember yang lalu, katanya, mereka telah menunjukkan peningkatan jualan memberangsangkan sekitar 47 peratus pada setiap bulan.

Ditanya mengenai model BLM yang akan dilancarkan tidak lama lagi, tambah beliau, ia mempunyai banyak ciri-ciri yang menarik dan diyakini mampu memperbaiki kedudukan Proton dalam industri automotif tempatan.

“Model BLM yang mempunyai elemen-elemen Lotus menawarkan saiz dalaman kenderaan yang lebih besar daripada model Saga dan kereta kompak MyVi oleh Perodua ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif dan dibangunkan dengan kos pelaburan yang minimum berbanding model terdahulu,” jelasnya.

Utusan Malaysia 1/12/2007

No comments: