PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071205

62. Malaysia serius tangani isu iklim

Pengeluaran karbon boleh dikawal dengan tutup punca tenaga tak perlu

MALAYSIA adalah antara negara dunia yang komited untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu perubahan iklim yang kini turut memberi kesan serius ke atas kehidupan, pengeluaran makanan dan mencetuskan pelbagai penyakit terutama denggi kepada rakyat negara ini.

Komitmen itu dinyatakan Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isu perubahan cuaca kini menjadi antara agenda utama negara ini dan pelbagai inisiatif sudah dilaksana termasuk penggubalan dasar Pembaharuan Tenaga (RE) membabitkan pengeluaran sumber tenaga bio, penggunaan tenaga solar dan hidro mini serta sistem pembuangan sampah yang lebih berkesan.

Menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sumber tenaga baru seperti solar akan dibangunkan, di samping pelbagai penyelidikan diadakan di beberapa pusat penyelidikan tenaga.

"Kerajaan juga semakin giat mempromosi pembangunan minyak bio menggunakan minyak sawit, dalam usaha menjadikan negara ini sebagai pengeluar utama sawit dunia. Beberapa stesen minyak sudah mula membekal diesel yang dicampur lima peratus minyak sawit, beroperasi sejak tahun lalu dan ketika ini diuji ke atas beberapa kenderaan terpilih kerajaan," katanya mengenai komitmen Malaysia itu.

Sidang anjuran Kementerian Sumber Asli dan Sekitar dan Pesuruhjaya Tinggi Britain, turut dihadiri menterinya, Datuk Seri Azmi Khalid, bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain, Boyd McCleary.

Bagaimanapun, komitmen Malaysia tidak berlaku tanpa kritikan terutama daripada kumpulan pencinta alam.

Persidangan dua hari di Kuala Lumpur itu, memberi tumpuan kepada pengeluaran karbon secara besar-besaran membabitkan pembalakan haram yang sering lewat dikesan, pembangunan tanah tanpa mengambil kira faktor pemuliharaan alam sekitar, pembukaan tanah bagi tujuan pembangunan pertanian dan perindustrian secara besar-besaran serta pencemaran alam sekitar yang sering hanya diambil tindakan selepas menerima aduan.

Jika bercakap mengenai pengeluaran karbon, mangsa pertama adalah industri tenaga yang menggunakan minyak, gas, elektrik, yang turut mengalami kemerosotan sumber yang serius.

Dengan rakyat semakin mewah, jumlah kenderaan di jalan raya adalah antara penyumbang pertama pengeluaran karbon di negara ini. Maknanya, seluruh rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan menggunakan petrol, diesel atau gas lain, bertanggungjawab kepada pengeluaran karbon secara besar-besaran di negara ini.

Penggunaan melampau kuasa elektrik turut memberi kesan kepada perubahan cuaca. Justeru, sikap berjimat bukan saja mengurangkan bil elektrik anda, bahkan boleh membantu melengahkan peningkatan suhu yang mustahil disekat.

Ramai yang hanya bercakap, tetapi jarang tindakan tegas diambil terhadap isu alam sekitar yang semakin serius.

Banjir tidak bermusim dan bertaraf bencana, kejadian bukan di lokasi sepatutnya, ombak besar seperti tsunami yang selama ini sebelum Disember 2004 hanya menjadi bahan tontonan atau bacaan rakyat Malaysia, tetapi sejak dua tahun lalu mula melanda negara ini. Semua kejadian di luar kebiasaan ini adalah petanda awal yang perlu diberi perhatian serius.

Dengan ramalan suhu semakin meningkat dan perubahan cuaca tidak dapat dielakkan, rakyat negara ini menghadapi dua senario yang saling berkaitan iaitu:

Kejadian banjir yang lebih serius dan semakin sering boleh berlaku, juga mungkin semakin buruk. Kajian sumber air kebangsaan pada 1992 meramalkan kemusnahan akibat banjir jangka panjang boleh mencapai lebih RM100 juta dan angka itu sebenarnya jauh lebih rendah daripada kerugian yang ditanggung pada kejadian banjir di Johor tahun lalu.

Pada masa yang sama, Malaysia juga boleh mengalami jatuhan hujan lebih rendah yang akan menjejaskan bekalan air.

Pembangunan adalah penting bagi misi menuju negara maju, namun ia patut diseiringkan dengan ketegasan untuk pemuliharaan alam sekitar yang lebih mapan sekiranya tidak mahu melihat generasi akan datang menderita akibat sikap 'tak apa' kita hari ini.

Fakta yang perlu diketahui disimpulkan oleh kajian yang dibuat pakar ekonomi untuk Kerajaan Britain, Nicholas Stern, yang kini dikenali sebagai 'Stern Review' - laporan setebal 700 muka surat yang dikeluarkan pada Oktober, 2006.

Laporan Stern adalah antara yang paling komprehensif mengenai cabaran dan ancaman dihadapi warga dunia dan menjadi rujukan kepada saintis, kerajaan dan kumpulan pencinta alam, dalam memberi amaran mengenai kesan perubahan cuaca ini kepada kehidupan mereka pada masa depan.

Sibuk memenuhi undangan kerajaan di beberapa negara, Stern menghantar wakilnya Su-Lin Garbett ke Kuala Lumpur menghadiri persidangan dua hari itu.

Su-Lin menumpukan perhatian menyampai tiga mesej utama iaitu kerajaan dunia boleh menjimatkan kos sekiranya mengambil tindakan pantas dan tegas, melalui perancangan pembangunan yang lebih strategik dan lebih mesra alam; serta penggubalan dasar dan mencipta teknologi yang lebih baik bagi menstabilkan perubahan suhu dunia.

"Sasaran paling penting sekarang ialah warga dunia. Mereka patut berhenti daripada hanya bercakap sebaliknya, mula bertindak lebih serius mulai sekarang. Mulakan dari tabiat rutin seperti sentiasa menutup punca tenaga apabila tidak memerlukan. Tabiat seperti membiarkan pengecaj bateri telefon 'hidup' walaupun ketika tidak menggunakan perlu dihentikan serta-merta.

"Tutup lampu yang tidak digunakan, jadualkan kegiatan menggosok, membasuh pakaian atau apa saja kegunaan elektrik di rumah yang menjadi punca pengeluaran karbon, bukan saja membantu memperlahankan pengeluaran karbon dunia, malah menjimatkan bil elektrik anda," kata Su Lin.

Katanya, usaha untuk mengurangkan pengeluaran karbon boleh dilakukan melalui pelbagai sumber terutama menyusun semula industri tenaga dunia, memperbaiki pengurusan hutan dan mengurangkan kegiatan membuka hutan.

Ketika bercakap mengenai implikasi perubahan iklim ini ke atas benua Asia berikutan antara negara yang menjadi penyumbang terbesar di rantau sebelah sini ialah China, Su-Lin menegaskan perubahan yang berlaku sebenarnya akan memberi kesan ke atas setiap negara dunia, cuma negara sedang membangun akan berasa kesan lebih serius berikutan ia lebih terdedah kepada bencana serta tidak mampu bertindak balas dengan pantas.

"Sekiranya tindakan menangani krisis ini bermula dari sekarang, Asia boleh menerima faedah daripada inisiatif global yang semakin serius untuk melakukan pelaburan ke arah penciptaan tenaga dan teknologi lebih bersih serta mesra alam.

"Negara di Asia seperti Malaysia juga perlu melihat kepada pengurusan hutan yang lebih berkesan, serta pembukaan tanah yang lebih tersusun. Pemimpin Asia juga mempunyai peranan penting untuk mencorakkan perdebatan mengenai krisis perubahan cuaca yang semakin meruncing hari ini dan ia perlu membabitkan semua peringkat pemimpin dan masyarakat," katanya.

Berita harian 5/12/07

No comments: