PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071216

99. ‘Mangsa’ banjir hubungi bilik gerakan untuk beli nombor ekor

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Bahagian Sibu Chai Moi Fong berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab menghubungi bilik gerakan banjir di sini hanya untuk membeli nombor ekor, pergi ke jamuan perkahwinan atau membeli makanan.

Beliau mengingatkan orang ramai, tidak menyalahguna atau menghubungi talian tersebut hanya kerana hal-hal yang remeh.

“Keutamaan kita adalah bagi menyelamatkan nyawa serta memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat, selain orang sakit. Orang ramai juga boleh menghubungi kita jika mereka terputus hubungan iaitu langsung tidak dapat keluar,” ujarnya pada satu sidang media di bilik gerakan operasi banjir Sri Rajang, petang semalam.

“Mereka juga boleh menghubungi kita untuk melaporkan kepada bilik operasi tentang situasi di tempat-tempat yang mengalami banjir.”

Katanya, pihaknya kelmarin ada menerima panggilan daripada seorang ‘mangsa’ banjir yang dikatakan memerlukan perkhidmatan bot untuk ke bandar bagi membeli nombor ekor.

Bilik gerakan banjir boleh dihubungi melalui talian 084-334852, 337291, 341740, 337406, 331704 atau faks 347513.

Dalam pada itu, Chai turut menasihati pemilik kenderaan agar tidak meletakkan kenderaan sesuka hati di kawasan laluan utama kerana perbuatan tersebut boleh menimbulkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan pengguna lain.

“Jika kenderaan anda rosak, boleh hubungi bilik gerakan banjir atau mereka yang berkenaan untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.

Menyentuh tentang keadaan cuaca yang cerah di sini kelmarin dan semalam, Chai mengingatkan orang ramai agar tidak ‘tertipu’ dengan keadaan tersebut memandangkan banjir boleh melanda bila-bila masa dari sekarang.

Ini berikutan bandar ini dijangka dilanda banjir buruk hari ini (Ahad), yang berpunca daripada limpahan air hujan dari kawasan hulu Batang Rajang dan air pasang besar yang mencatatkan paras tertinggi iaitu 3.5 meter.

Kelmarin, daerah Sibu mencatatkan hujan sebanyak 41.5 milimeter (mm), Belaga (7.5mm), Kapit (22mm), Song (19.5mm) dan Julau (7.5mm). Ini menyebabkan paras air di sini meningkat daripada 2.68 meter (14 Dis) kepada 2.79 meter (15 Dis).

Sementara itu, 53 mangsa banjir masih ditempatkan pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Teknik, di sini. Keadaan banjir semalam tidak banyak berubah dengan beberapa jalan utama dan kawasan masih ditenggelami air. Jalan Stabau, Jalan Pulau Dudong, Jalan Sungai Assan, Jalan Nibong Tada dan Jalan Salim masih ditutup kepada kenderaan kecil kerana ditenggelami air sedalam antara satu hingga dua setengah kaki.

Jalan Sungai Maaw, Jalan Ling Chu Ming, Jalan Bawang Assan, Jalan Kerto, Jalan Kampung Banyok dan Jalan Teku Pasai Siong sudah boleh dilalui oleh kenderaan. Di Kanowit, Jalan Penyulau, Jalan Kem Sungai Ranan, Jalan Ngungun/Nanga Poi dan Jalan Lipus juga masih tidak boleh dilalui kenderaan kecil.

BORNEOPOST 16/12/07

No comments: