Pelajar buat pinjaman dapat mengelak tanggung hutang tinggi, tunggakan.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mengkaji keperluan untuk melaksanakan sistem pembayaran pinjamannya sewaktu peminjam masih dalam sesi pengajian.
Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail, berkata langkah itu bertujuan mengelakkan pelajar menanggung hutang lebih tinggi dan mengelakkan daripada jumlah pinjaman tertunggak semakin meningkat.
Katanya, sistem yang dijangka dilaksanakan dalam masa beberapa tahun lagi itu adalah sama seperti dilaksanakan syarikat perbankan yang menawarkan pinjaman bagi tujuan melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).
"Bagaimanapun kadar caj pentadbiran kami kini iaitu tiga peratus akan dikekalkan dan ia lebih rendah berbanding dengan caj dikenakan mereka (syarikat perbankan) yang mencecah tiga hingga sembilan peratus.
"Ia belum lagi diputuskan secara muktamad tetapi hanya akan dilaksanakan jika mekanisme yang kami laksanakan sebelum ini antaranya menghadapkan peminjam tegar ke mahkamah didapati tidak memberi kesan kepada jumlah kutipan pinjaman tertunggak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Isu kegagalan bekas pelajar menjelaskan pinjaman masing-masing mendapat perhatian sejak kebelakangan ini berikutan kedegilan sebahagian besar peminjam berbuat demikian.
Sejak beroperasi pada 1997 hingga tahun ini, agihan pinjaman pendidikan PTPTN mencecah RM20 bilion kepada kira-kira sejuta pelajar IPT dan daripada jumlah itu sebanyak RM11.2 bilion jumlah pinjaman, masih belum dikutip.
Keadaan itu menyebabkan PTPTN terpaksa mengetatkan langkah penguatkuasaan antaranya mengiklankan nama peminjam di media, menyenarai hitam peminjam, menghadapkan ke mahkamah, mengenakan caj peratus lebih tinggi dan melalui potongan gaji mulai 2010.
Razali menjelaskan cadangan seumpama itu pernah dikemukakan PTPTN, tetapi dibantah banyak pihak kerana bimbang ia akan membebankan pelajar untuk membayar pinjaman ketika masih belajar.
"Tetapi mereka harus tahu bahawa kami yang bertanggungjawab memberi pinjaman kepada lebih ramai pelajar lebih terasa 'bebannya' akibat sikap segelintir peminjam yang tidak membayar pinjaman.
"Kami memberi jaminan langkah itu hanya akan diperkenalkan jika keadaan benar-benar memerlukan dari segi jumlah pembayaran semula yang kurang atau tidak cukup untuk menaja pelajar lain," katanya.
Sementara itu, berhubung perkara lain, Razali berkata, semua peminjam PTPTN diwajibkan mempunyai mempunyai nombor fail cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mulai bulan depan bagi memudahkan urusan mengesan peminjam pada masa akan datang.
Katanya, pelaksanaannya itu adalah selaras dengan pindaan Akta PTPTN 1997 yang diluluskan Parlimen, Mei lalu bagi memudahkan tugas mengesan semula peminjam tabung PTPTN.
"Selain itu, ia (pemberian nombor fail cukai pendapatan) juga adalah sebahagian daripada persediaan kami sebelum langkah mewajibkan semua peminjam membayar balik pinjaman secara potongan gaji melalui LHDN mulai 2010," katanya.
um17/12/07
No comments:
Post a Comment