PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081130

Untung dan Rugi Syarikat Penerabangan

MAS untung RM198 juta

Malaysian Airline System Bhd. (MAS) merekodkan penurunan keuntungan bersih kepada RM198 juta bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding RM609 juta untuk tempoh yang sama sebelumnya ekoran situasi yang sukar ketika ini.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu turut mencatatkan kejatuhan keuntungan selepas cukai sebanyak RM38 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2008 berbanding RM364 juta untuk tempoh yang sama sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, penurunan keuntungan dicatat ekoran keadaan ekonomi semasa yang mencabar serta peningkatan harga bahan api yang melampau pada tahun ini.

''Walaupun berada dalam ketidaktentuan persekitaran global ketika ini, prestasi MAS masih lagi positif apabila berjaya meraih keuntungan buat sembilan sukuan berturut-turut walaupun 30 syarikat penerbangan asing yang lain kini telah muflis.

''MAS masih lagi berkebolehan membuat keuntungan, jika harga minyak kekal pada paras AS$100 (RM362) setong seperti tahun lalu, MAS sudah semestinya dapat memenuhi sasaran RM1 bilion bagi tahun ini serta rancangan pemulihan perniagaan kedua (BTP 2) yang telah diumumkan sebelum ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan keputusan kewangan MAS untuk suku ketiga berakhir 30 September 2008, turut hadir Ketua Pegawai Kewangan MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin.

Tambah Idris, harga minyak naik ke paras tertinggi dan ia telah memberi kesan buruk kepada semua syarikat penerbangan dunia.

Menurutnya, walaupun harga minyak mentah kini menyusut, krisis kewangan semasa akan mengakibatkan lebih banyak lagi syarikat mengalami kerugian dan senario tersebut akan berterusan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

''Kelembapan ekonomi dan peningkatan kos bahan api sebanyak 56 peratus atau RM872 juta kepada RM1.9 bilion, kami masih boleh mengekalkan perolehan pada paras RM4.1 bilion bagi suku ketiga ini.

''Perolehan itu disumbangkan oleh perbelanjaan bukan bahan api sebanyak RM2.2 bilion, perolehan penumpang sebanyak RM2.9 bilion dan kargo sebanyak RM589 juta,'' jelasnya.

Untuk prestasi suku keempat syarikat itu, Idris berkata, MAS tetap optimis untuk terus mencatat keuntungan kerana syarikat sudah melaksanakan beberapa strategi inovatif seperti harga dinamik, penggunaan sepenuhnya rangkaian, pengurusan kos serta inovasi.

''MAS juga secara berterusan menyemak semua aspek operasi untuk meningkatkan perolehan termasuk potensi penyelenggaraan, pembaikan dam membaik pulih (MRO) yang mana kami menawarkan 50 peratus penyelengaraan kepada pihak ketiga,'' katanya.

Idris berkata, MAS tidak bercadang untuk mengurangkan laluan penerbangannya, sebaliknya bercadang untuk menambah laluan dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.


AirAsia rugi RM466 juta

AirAsia Bhd. (AirAsia) mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM466 juta untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2008 berbanding keuntungan selepas cukai sebanyak RM180 juta untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Keputusan kewangan semasa itu merupakan kerugian pertama syarikat penerbangan tambang murah tersebut sejak ia mula beroperasi pada 2001.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes (gambar) berkata, kerugian tersebut disebabkan kadar tukaran Ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sandaran terhadap pelaburan dalam Lehman Brothers.

''Nilai Ringgit yang rendah menyebabkan kami kerugian sebanyak RM213 juta manakala item berkecuali bagi peruntukan struktur derivatif dan perdagangan yang tidak boleh diperolehi semula dalam Lehman Brothers berjumlah RM215 juta lagi. Kami juga mengalami kerugian operasi sebanyak RM76 juta,'' katanya pada telepersidangan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fernandes yakin syarikat itu dapat menampung semula kerugian tersebut antara dua hingga tiga bulan lagi sekiranya harga minyak dunia kekal pada harga AS$53 (RM190.80).

Sementara itu, AirAsia mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 43 peratus kepada RM659 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding RM462 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu, ujar Fernandes.

''Kapasiti penumpang juga meningkat sebanyak 24 peratus pada suku ini iaitu sebanyak 30 juta, melepasi sasaran awal sebanyak 20 juta,'' katanya.

Fernandes berkata, operasi AirAsia di Thailand dan Indonesia juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun berlaku sedikit kekacauan politik sehingga menyebabkan beberapa lapangan terbang di negara tersebut terpaksa ditutup sementara.

Jelasnya, operasi di Thailand berjaya mengurangkan kerugian sebanyak 44 peratus walaupun dalam keadaan harga minyak yang meningkat secara mendadak berikutan peningkatan muatan penumpang sebanyak 79 peratus dan kenaikan purata tambang sehingga 29 peratus.

Di Indonesia, katanya, operasinya meraih hasil yang lebih tinggi iaitu sebanyak 69 peratus berbanding tahun lalu manakala kapasiti penumpang meningkat sehingga 78 peratus.

Langkah mengemaskini beberapa destinasi turut menyumbang kepada penurunan kerugian sebanyak 88 peratus manakala penerimaan pesawat Airbus, A-320 pada September lalu juga membantu dalam mengurangkan kos, ujar Fernandes.

No comments: