Bank Negara Malaysia menurunkan kadar faedah tempatan sebanyak 0.25 peratus dalam usahanya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara dalam mesyuaratnya semalam memutuskan menurunkan Kadar Dasar Semalam (OPR) bank pusat itu kepada 3.25 peratus daripada 3.5 peratus.
OPR adalah penanda aras yang digunakan bank di negara ini untuk menetapkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) masing-masing dan penurunan itu bakal mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar peminjam.
Kadar purata BLR yang dikenakan bank di negara ini kini adalah 6.72 peratus.
Sementara itu, MPC Bank Negara juga mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bank daripada empat peratus kepada 3.5 peratus berkuat kuasa 1 Disember ini.
Langkah itu akan meningkatkan lagi kemampuan bank tempatan menyalurkan pinjaman kerana ia bakal mengurangkan jumlah dana (daripada peratusan jumlah depositnya) yang perlu disimpan oleh bank di negara ini di Bank Negara.
Bank Negara dalam kenyataannya berkata penurunan kadar faedah dibuat memandangkan risiko pertumbuhan ekonomi lebih rendah serta tekanan inflasi yang semakin berkurangan.
"Walaupun permintaan domestik masih mampan, wujud tanda aktiviti sektor swasta akan menjadi perlahan dalam keadaan pasaran pekerja serta persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
"Dalam keadaan begini, langkah mengekalkan permintaan dalam negara adalah penting bagi memastikan pertumbuhan 2009 kekal positif," katanya.
Mengulas lanjut mengenai keputusannya, Bank Negara berkata prospek pertumbuhan ekonomi global terus terjejas dan beberapa negara maju sudah mengalami kemelesetan susulan keadaan buruk sistem kewangan masing-masing.
"Kemerosotan permintaan global yang ketara, kejatuhan harga komoditi yang besar dan penurunan harga ekuiti yang nyata memberi tekanan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi serantau.
"Dalam persekitaran itu, inflasi global mula menurun dan keadaan ini dijangka berterusan dan ia mendorong pihak berkuasa menyediakan sokongan kecairan secara besar-besaran kepada pasaran kewangan dan mengambil langkah rangsangan fiskal dan pelonggaran dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.
No comments:
Post a Comment