PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081103

Najib menang tanpa tanding

TPM terima 141 pencalonan jawatan Presiden Umno

Datuk Seri Najib Razak menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno selepas menerima 141 pencalonan daripada bahagian parti itu yang sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sehingga semalam. Kemenangan Timbalan Presiden Umno itu hadir apabila tiada calon lain yang boleh memenuhi kuota 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti Mac depan, apabila kini hanya tinggal 49 bahagian yang belum mengadakan mesyuarat masing-masing.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan kedudukan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan Presiden Umno, sekali gus mengetepikan kemungkinan sebarang cabaran sebaik menerima pencalonan ke-134 daripada Umno Bahagian Labuan, petang semalam.

Bahagian yang mencalonkan beliau semalam ialah Kota Belud, Klang, Teluk Intan, Teluk Kemang, Tawau, Ayer Hitam, Kuala Pilah, Puchong, Kota Raja, Batu Kawan, Tampin, Segamat, Pandan, Kulim/Bandar Baharu, Sekijang, Tanjung Malim, Indera Mahkota, Bentong, Cameron Highlands, Muar, Kapar dan Balik Pulau .

Turut mencalonkan beliau semalam ialah Umno Bahagian Silam yang memperlihatkan persidangan perwakilannya berlangsung selama 24 jam iaitu bermula jam 9 pagi kelmarin dan hanya selesai pada kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Mengulas kemenangan itu, Najib berkata, beliau bersyukur dan terharu atas kepercayaan yang diterjemahkan dalam bentuk pencalonan oleh bahagian yang sudah bersidang setakat ini, sehingga membolehkannya menang tanpa bertanding.

Beliau percaya, pencalonan itu mencerminkan kehendak dan keyakinan akar umbi terhadap pelan peralihan kuasa yang dipersetujui bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya berazam menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebaik mungkin bagi menangani segala cabaran yang sedang dihadapi Umno dan Barisan Nasional (BN). Saya harap proses pemilihan yang sedang berlaku sekarang ini dapat terus berjalan dengan bersih dan teratur.

"Marilah kita bermuafakat dan bekerjasama untuk membawa obor perjuangan murni agama, bangsa dan negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman blognya, 1Malaysia.com.my, petang semalam.

Sehingga ini, Najib menyapu bersih semua pencalonan bagi jawatan Presiden Umno daripada keseluruhan 141 daripada 191 bahagian yang sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing, kecuali Gua Musang yang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib semalam mendapat tujuh lagi pencalonan iaitu daripada Cameron Highlands, Klang, Teluk Intan, Kapar, Kota Raja, Pandan dan Puchong untuk mengumpul 29 pencalonan keseluruhan.

Umno bahagian Kota Belud, Ayer Hitam, Tanjung Malim, Indera Mahkota, Teluk Kemang dan Tampin pula mencalonkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk jawatan yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan Naib Presiden Umno itu kini 32.

Seorang lagi Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menambah pencalonan apabila bahagian Silam, Tawau, Batu Kawan, Segamat, Kulim/Bandar Baharu, Sekijang, Bentong, Muar dan Balik Pulau mencalonkan beliau untuk kerusi Timbalan Presiden.

Jawatan Timbalan Presiden Umno memerlukan kelayakan minimum 39 pencalonan bagi membolehkan calon layak bertanding.

No comments: