PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081112

ISU & PANDANGAN : Banyak peniaga masih tidak peduli turunkan harga

APABILA kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol, maka para peniaga tidak kira di sektor mana sekali pun akan berlumba-lumba menaikkan harga barangan mereka.

Bagaimanapun tiada pula langkah segera menurunkan harga barang dilakukan selepas kerajaan menguatkuasakan penurunan harga minyak yang sehingga kini telah memasuki fasa keempat.

Senario itu memperlihatkan betapa golongan peniaga hanya mementingkan keuntungan dan mengetepikan tanggungjawab sosial sekali gus meminggirkan nasib pengguna.

Laba yang dikejar oleh para peniaga mendorong mereka menggunakan kuasa yang ada untuk menentukan harga di pasaran kecuali bagi barangan yang dikawal harganya oleh kerajaan.

Seolah-olah para peniaga terlepas daripada tanggungjawab sosial sedangkan dalam konsep perniagaan itu sendiri ada elemen amanah serta jujur yang sekali gus menidakkan langkah meraih keuntungan keterlaluan.

Kegagalan memelihara prinsip asas perniagaan menyebabkan keluhan pengguna tentang harga barang yang melambung tidak pernah terhenti dan pada masa yang sama para peniaga memekakkan telinga dan terus bertindak menaikkan harga barangan keperluan.

Bagaimanapun persetujuan dua pengusaha restoran untuk menurunkan harga nasi kandar, roti canai dan teh tarik kelmarin menunjukkan masih ada peniaga yang 'berhati perut'.

Kita percaya tindakan menurunkan harga nasi kandar sebanyak 20 sen sepinggan manakala 10 sen bagi sekeping roti canai tidak akan mendatangkan kerugian kepada pengusaha restoran yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) itu.

Tentunya masih ada keuntungan yang bakal diraih oleh pengusaha restoran berkenaan biar pun tidak selumayan jika mereka mengekalkan harga asal, sebab itu mereka tampil menyahut saranan kerajaan.

Namun selepas empat kali harga minyak diturunkan dan hanya dua persatuan pengusaha restoran bersetuju menurunkan harga cukup memberi gambaran bahawa saranan kerajaan tidak dipedulikan oleh para peniaga.

Sambutan yang tidak memberangsangkan itu sewajarnya menjadi teladan kepada kerajaan tentang ketamakan para peniaga justeru usaha bersungguh-sungguh untuk mengenakan tindakan kepada kumpulan tersebut mesti dilaksanakan.

Dalam keadaan kegawatan ekonomi dunia yang Malaysia turut terkena tempiasnya, para peniaga sepatutnya melaksanakan tanggungjawab sosial dengan cara tidak menekan pengguna.

Perlu diakui, keberanian para peniaga bertindak menaikkan harga antaranya didorong oleh kegagalan pihak penguat kuasa melaksanakan tugas memantau ketamakan golongan tersebut meraih keuntungan secara berlebihan.

Kegagalan itu yang mesti segera ditangani supaya para peniaga tahu dan sedar bahawa ini bukan masanya untuk mereka menekan pengguna sehingga menimbulkan ketidakseimbangan dalam ekonomi domestik.

No comments: