PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081126

Ancaman lanun di Teluk Aden perlu dihapus

KESEDIAAN Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membincangkan cadangan Malaysia berhubung penubuhan pasukan pengaman tentera laut bagi menangani masalah ancaman lanun bersenjata di sekitar Teluk Aden berhampiran Somalia, sewajarnya dihargai. Masalah lanun di perairan itu kini semakin membimbangkan, malah sepanjang tahun ini 95 serangan lanun dilaporkan membabitkan 39 kapal ditawan dan dijadikan tebusan. Tindakan itu menyebabkan kerugian besar kepada syarikat perkapalan dan pemilik kapal individu kerana terpaksa membayar wang tebusan jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) bagi pembebasan kapal dan anak kapal. Terbaru, kumpulan lanun bersenjata itu merampas dan menahan kapal tangki minyak Sirius Star milik Arab Saudi yang membawa kira-kira dua juta tong minyak dan menuntut wang tebusan RM52 juta. Sebelum ini, dua kapal tangki milik Malaysia turut ditawan dan dibebaskan selepas sejumlah wang tebusan dibayar kepada penjenayah terbabit.

Pembabitan pasukan pengaman tentera laut pelbagai negara jika diluluskan dijangka memberi tekanan kepada lanun berkenaan yang beroperasi di sepanjang 3,000 kilometer perairan Somalia. Ia menjadi laluan kira-kira 20 kapal tangki dan ratusan kapal komersial dan persendirian lain setiap hari untuk keluar masuk melalui Terusan Suez. Namun tugas itu bukan mudah kerana memerlukan kos dan aset tentera yang tinggi berikutan kawasan perairan yang luas. Malah, tindakan lanun merampas kapal berkenaan kira-kira 450 kilometer dari pantai Somalia, turut mencetuskan kehairanan mengenai kecanggihan peralatan bot yang dimiliki, sedangkan kawasan perairan itu dikawal dan dipantau kapal perang kuasa besar, termasuk AS dan Russia. Ini menunjukkan wang tebusan yang dibayar digunakan lanun untuk meningkatkan keupayaan mereka beroperasi. Berikutan itu, dilaporkan pemilik kapal tangki dan persatuan perkapalan seluruh dunia mengesyorkan supaya tindakan segera diambil termasuk mengadakan sekatan tentera laut antarabangsa di sepanjang pesisiran pantai Somalia bagi menyekat bot lanun keluar di perairannya.

Bagi kita, langkah segera Majlis Keselamatan PBB membincangkan secara terperinci cadangan Malaysia itu mampu memberi tekanan kepada kumpulan terbabit. Dalam pada itu, PBB juga perlu segera menyelesaikan konflik dan perang saudara yang melanda Somalia sejak sekian lama bagi meredakan operasi kumpulan bersenjata, termasuk lanun. Somalia yang bergolak menyebabkan rakyat menderita dan sanggup melakukan apa saja untuk meneruskan hidup. Pengalaman ancaman lanun di Selat Melaka boleh dijadikan contoh, selepas Gerakan Aceh Merdeka (GAM) berdamai dengan pemerintah Indonesia sehingga tiada lagi ancaman di selat terpanjang di dunia itu.

No comments: