PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081119

Harga barang tak turun jika tiada ketegasan

HARGA runcit petrol dan diesel sudah lima kali diturunkan sejak Ogos lalu dan kini menghampiri harga lama sebelum kenaikan harga komoditi itu pada peringkat global tahun lalu. Kerajaan turut mengurangkan harga siling beras Super Tempatan (ST) lima peratus dan 10 peratus hancur, yang pertama dilakukan sejak harga barangan makanan itu dikawal Mei lalu. Namun, saban hari kita terus mendengar desakan pelbagai pihak, termasuk kerajaan supaya peniaga menurunkan harga barangan yang mereka jual seperti makanan dan minuman. Semakin turun harga minyak, semakin untung pengusaha dan peniaga kerana terus mengekalkan harga barangan mereka. Sesetengahnya, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berhasrat menganjurkan perhimpunan bagi memboikot peniaga liat yang masih berdegil tidak mahu menurunkan harga barang. Ramai pihak mungkin terlepas pandang dengan menyalahkan peniaga 100 peratus kerana gagal menurunkan harga. Sebenarnya, pihak terbabit seharusnya turut mensasarkan pembekal, pemborong dan pengilang dalam kempen untuk menurunkan harga barangan. Selagi golongan ini tidak menurunkan harga, agak sukar bagi peniaga yang mendapat bekalan barangan daripada mereka untuk berbuat demikian. Hanya pihak berkuasa boleh memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka ini, bukan orang ramai dan NGO yang mungkin setakat membuat desakan.

Jika diteliti rantaian perniagaan, daripada pengilang atau pembuat, pihak pertama yang menerima barangan siap ialah pengedar yang sah atau pengimport, mahupun pengeksport. Barangan ini kemudian berpindah ke gudang milik pemborong utama dan beralih lagi kepada pemborong atau pembekal kawasan sebelum sampai kepada peniaga runcit. Jika disiasat daripada peruncit ini, mereka akan mendakwa pemborong atau pembekal yang menentukan turun naik harga barang. Apakah ini benar atau alasan untuk melepaskan diri. Hal ini perlu kita berikan perhatian. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) misalnya boleh menyenaraikan barangan yang bukan barangan kawalan, periksa harga pada peringkat kilang dan pemborong bagi memastikan harganya berpatutan sebelum dibekalkan kepada peniaga. Pihak kementerian boleh mewujudkan pangkalan data yang menghimpunkan senarai harga barang keperluan semua pasar raya besar, pasar borong, pasar mini dan kedai runcit di seluruh negara berdasarkan lokasi seperti bandar dan negeri. Mungkin elok rasanya kementerian memanggil pengilang dan pemborong untuk berdialog bagi mencari jalan bagaimana menurunkan harga barangan jualan mereka ke tahap munasabah, sejajar penurunan harga runcit bahan api supaya rakyat tidak dibebani harga yang tinggi.

No comments: