Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya segera membatalkan permit yang dikeluarkan kepada pekerja asing yang belum datang ke Malaysia sebagai langkah membantu pekerja tempatan yang hilang pekerjaan mendapatkan kerja lain.
Setiausaha Agungnya G. Rajasekaran berkata ketika ini kira-kira 1,000 pekerja asing yang baru masuk ke negara ini setiap hari.
Jika kerajaan dapat menghentikan pengaliran masuk pekerja asing maka langkah itu boleh menjana kira-kira 30,000 peluang pekerjaan setiap bulan, katanya kepada Bernama di sini.
Beliau menyifatkan aliran masuk pekerja asing adalah kerana wujudnya 277 agensi pekerja asing berlesen yang membawa masuk pekerja dengan jumlah besar dan tindakan itu memburukkan situasi pasaran kerja di negara ini.
Rajasekaran berkata krisis kewangan yang bermula di Amerika Syarikat sudah mula menunjukkan kesan di negara ini.
Menurut Pelan Tindakan Negara Bagi Pengangguran yang diumumkan kerajaan semalam, kira-kira 190,000 hingga 270,000 peluang pekerjaan baru perlu diwujudkan setiap tahun untuk dua tahun akan datang.
Industri kecil dan sederhana akan menjadi tulang belakang dalam mewujudkan bilangan besar pekerjaan baru.
Bagaimanapun, oleh kerana Malaysia dijangka menerima tempias krisis kemelesatan ekonomi global, maka ada kemungkinan bilangan pekerjaan baru tidak mencukupi dan ekoran itu kadar pengangguran di Malaysia dijangka meningkat antara empat dan lima peratus berbanding 3.6 peratus pada masa ini.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment