PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081126

Satu bilion lagi unit ASW ditawar mulai hari khamis

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) Khamis ini, akan mula menawarkan jualan tambahan satu bilion unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020), dana amanah yang popular di kalangan bukan bumiputera.

Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (gambar) berkata, unit-unit baru itu akan dijual pada pukul 8 pagi di 10 pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan 1,627 cawangan ejen ASNB seluruh negara.

ASW 2020 yang merupakan dana pendapatan berharga tetap RM1 seunit dijual kepada semua rakyat negara ini tertakluk kuota 51 peratus kepada golongan bumiputera manakala bakinya kepada bukan bumiputera.

''Bagi memastikan penyertaan yang saksama, had pelaburan maksimum sebanyak 10,000 unit akan dikenakan bagi setiap akaun dalam tempoh tawaran bermula 27 November hingga 3 Disember ini. Bagaimanapun selepas tempoh tersebut, had pelaburan maksimum akan dihapuskan,'' kata Hamad Kama Piah dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Penjualan itu adalah penambahan unit kali keenam sejak pelancarannya pada 28 Ogos 1996, sekali gus meningkatkan saiz dana ASW 2020 kepada 10.42 bilion berbanding 9.42 bilion sebelum ini.

Dana ASW 2020 adalah paling besar saiznya di kalangan lapan dana unit amanah milik PNB, boleh dilanggani oleh rakyat Malaysia yang berusia enam bulan ke atas.

Dana itu juga pernah mencatat sejarah dalam industri unit amanah negara apabila kuota langganan pelabur bukan bumiputera habis dijual dalam tempoh 27 minit pada 1 September 2006.

Pada ketika itu, firma pelaburan terbesar negara itu menawarkan jualan unit ASW 2020 sebanyak satu bilion unit.

Hamad Kama Piah menjelaskan, penambahan unit dibuat semula pada tahun ini sebagai usaha memberi peluang kepada pelabur yang tidak berkesempatan melanggan saham amanah berkenaan sebelum ini.

Pada September tahun lalu, ASW 2020 telah ditambah sebanyak dua bilion unit baru dengan had langganan maksimum sebanyak 20,000 unit bagi setiap pelabur.

Pada Mac lalu pula, PNB telah membuat penambahan unit Dana ASW 2020 sebanyak satu bilion unit lagi tetapi mengenakan had langganan maksimum berjumlah 50,000 unit setiap seorang.

Hamad Kama Piah yakin melalui strategi mengehadkan pembelian unit saham amanah sehingga 10,000 unit untuk satu akaun sahaja kini, akan meluaskan lagi peluang pelaburan kepada lebih ramai pelabur.

''Kami tidak menjangkakan sebarang rekod jualan dicatat kali ini seperti mana berlaku pada tahun lalu tetapi apa yang penting, terdapat penyertaan pelabur yang menyeluruh,'' katanya.

Beliau menjelaskan, pelabur yang layak juga boleh melabur dalam ASW 2020 melalui skim pelaburan ahli KWSP.

Sejak ia dilancarkan, purata pengagihan pendapatan tabung ASW 2020 adalah 7.74 sen seunit.

No comments: