PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081126

Ringankan beban rakyat

Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan kadar faedah menerusi Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 3.5 peratus kepada 3.25 peratus merupakan satu lagi alat jaringan keselamatan ekonomi yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat dan industri.

Ia bertujuan mengurangkan bebanan pengguna yang menggunakan pinjaman sebagai pembelian aset tetap berjangka sederhana dan panjang seperti kereta dan rumah. Pengurangan itu juga mengurangkan bebanan syarikat perniagaan yang menggunakan pinjaman sebagai modal perniagaan.

Langkah monetari itu membantu menggalakkan aktiviti ekonomi menerusi perbelanjaan penggunaan dan pelaburan oleh pengguna dan industri. Kecairan dan ketunaian dalam industri perbankan dan kewangan juga ditingkatkan lagi dengan keputusan BNM menurunkan kadar Keperluan Rezab Berkanun (SRR) daripada 4 peratus kepada 3 peratus.

Pengurangan kadar OPR dan SRR adalah bertujuan melengkapi langkah fiskal yang dilaksana oleh kerajaan untuk memacu ekonomi negara ke arah mencapai sasaran pertumbuhan Kadar Keluaran Negara Kasar 3.5 peratus pada tahun 2009 walaupun ekonomi negara Asia seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura telah mengalami kemelesetan.

Untuk mencapai unjuran 3.5 peratus, kerajaan, sektor swasta dan semua pihak yang lain perlu bersama-sama menjana ekonomi dalam keadaan yang sukar ini.

Kerajaan telah mengambil tindakan supaya pakej rangsangan RM7 bilion yang diumumkan baru-baru ini dilaksanakan seberapa segera yang mungkin. Kerajaan juga telah mengurangkan harga runcit minyak petrol dan diesel baru-baru ini bagi mengurangkan tekanan inflasi dalam negara.

Krisis ekonomi global kali ini adalah yang paling kompleks kerana ia bermula di pusat sistem kewangan dunia iaitu di Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai kesan rantaian ke atas hab kewangan antarabangsa lain di Eropah dan Asia Timur. Ini sesuai dengan pepatah ekonomi, apabila AS 'batuk' negara lain akan mendapat 'selesema'.

Krisis kewangan di AS telah merebak ke industri lain, khususnya industri automotif dan juga industri lain yang memerlukan pembiayaan modal yang tinggi daripada industri perbankan dan kewangan.

Industri automotif di AS yang diketuai oleh Ford Motor Company, General Motor Company (GM) dan Chrysler atau Detroit Big Three adalah dalam ambang kebangkrapan jika pentadbiran Pentadbiran Presiden George W. Bush enggan memberi pinjaman sebanyak AS$25 bilion kepada industri itu.

Sebelum itu, atas dasar kepentingan umum, pentadbiran Bush telah membantu industri kewangan dan perbankan AS dengan suntikan dana sebanyak AS$700 bilion bagi membolehkan institusi kewangan yang bermasalah beroperasi semula.

Jualan domestik kereta oleh Detroit Big Three merosot pada tahun ini (sehingga Oktober) kepada AS$5.8 juta berbanding tahun 2007 (sehingga Oktober) AS$7 juta. Kemerosotan jualan disertai pula dengan harga sahamnya yang menurun pada tempoh yang sama. Trend kemerosotan jualan juga berlaku dalam negara pengeluar kereta di Eropah, Jepun dan Korea Selatan.

Di Jerman, Opel yang merupakan syarikat bersekutu GM akan mengurangkan pengeluaran keretanya mulai tahun depan. Opel juga telah memohon pinjaman daripada kerajaannya jika syarikat induknya, GM, tidak memperolehi pinjaman sebanyak AS$10-12 bilion daripada pentadbiran Bush.

Di Jepun pula, Toyota, Honda, Mazda, dan Nissan yang merupakan syarikat global bercadang untuk memberhentikan pekerja sambilannya dan mengurangkan pengeluaran global kenderaan bermotor. Begitu juga yang dilakukan oleh pengeluar kenderaan bermotor Sangyong di Korea Selatan. Masing-masing membuat 'pengecilan saiz.'

Tanda-tanda kemerosotan seperti pada Detroit Big Three kini mulai meresap dalam industri automotif negara. Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini, jualan kenderaan bermotor, iaitu kereta penumpang dan perdagangan, pada Oktober tahun ini susut kepada 37,512 unit daripada 42,915 unit setahun lalu, dan turun 26 peratus apabila dibandingkan dengan jualan pada bulan September yang lepas. Begitu juga dengan hasil jualan kenderaan.

Oleh itu, langkah tebatan dan perlindungan yang diambil oleh kerajaan menerusi pengurangan kadar OPR dan SRR dapat melindungi industri automotif tempatan yang kini menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 21,000 orang. Industri-industri lain dalam sektor primer, sekunder dan tertiari juga mendapat perlindungan daripada langkah monetari BNM itu.

Malaysia mampu mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.5 peratus pada tahun 2009, walaupun eksport negara akan terjejas berikutan import yang berkurangan dari Amerika Syarikat dan Eropah. Namun, Malaysia boleh bergantung pada rakan dagangan seperti China dan India kerana kedua-dua negara ini masih mencatat pertumbuhan positif 7 hingga 9 peratus. Oleh itu, wujud tebatan dan perlindungan bagi ekonomi negara kerana tidak bergantung kepada negara Barat untuk eksport.

Isu yang paling kritikal dalam krisis ekonomi ialah pemberhentian para pekerja. Jaringan keselamatan ekonomi menerusi inisiatif monetari dan fiskal oleh kerajaan dapat menjaminkan pekerjaan kepada rakyat.

Malah, ini disertai dengan Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Pekerjaan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini yang membantu menangani isu pengangguran secara holistik kepada pekerja dalam industri yang mudah terjejas dengan krisis ekonomi.

Tidak seperti dalam krisis kewangan 1997, negara kini lebih bersedia dengan krisis ekonomi global dengan membangunkan jaringan keselamatan ekonomi dan sosial yang lebih bersepadu untuk rakyat dan industri.

No comments: