Harga beras super tempatan lima dan 10 peratus hancur turun 20 sen sekilogram selaras penurunan harga bahan api sebanyak 15 sen kelmarin. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata harga beras ketika ini adalah RM2.60 sekilogram bagi super tempatan lima peratus hancur berbanding RM2.80 sebelumnya, manakala bagi beras super tempatan 10 peratus hancur pula adalah RM2.50 sekilogram berbanding RM2.70 sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya, harga beras subsidi 15 peratus hancur dikekalkan pada RM1.80 sekilogram berbanding harga pasaran RM2.30 sekilogram.
“Harga beras tempatan 15 peratus hancur dikekalkan berikutan kerajaan sudah memperuntukkan subsidi bernilai RM800 juta untuk memastikan harganya di seluruh negara tetap stabil,” katanya selepas melancarkan program Aktiviti Hujung Minggu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Mustapa berkata, program aktiviti hujung minggu itu akan diadakan setiap Sabtu bermula semalam bagi menggalakkan pengunjung mengenali industri pertanian lebih dekat, selain menggalakkan pelbagai aktiviti supaya diadakan lebih kerap di tapak ekspo pertanian itu.
No comments:
Post a Comment