Operasi hantar pulang rakyat asing di Sabah diperhebat
Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi operasi besar-besaran mengusir pendatang asing tanpa izin di Sabah yang dianggarkan 150,000, bermula awal bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu diperlukan bagi melancarkan tindakan berkesan membabitkan semua warga asing yang sudah dikenal pasti tidak mempunyai dokumen sah atau tamat tempoh untuk dikeluarkan dari negara ini.
"Kabinet dalam mesyuarat minggu lalu meluluskan permohonan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin Sabah mendapatkan peruntukan itu.
"Ia untuk membeli pelbagai peralatan dan keperluan operasi," katanya pada sidang media selepas taklimat khas dengan ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah berhubung penyelesaian masalah pendatang asing di negeri itu, di Bangunan Parlimen, di sini, semalam.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, dianggarkan antara 100,000 hingga 150,000 pendatang asing akan dihantar balik ke negara asal dalam operasi berterusan itu.
Katanya, jawatankuasa juga menetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai penyelaras operasi pendatang asing tanpa izin peringkat Pusat dan penguatkuasaan diserahkan kepada polis.
"Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dilantik mempengerusikan jawatankuasa penyelaras peringkat negeri," katanya.
Beliau berkata, operasi akan bermula di Pantai Barat Sabah yang ada kem tahanan sementara iaitu Kem Paradise, Kota Belud sebelum diteruskan di Pantai Timur negeri itu.
"Kem tahanan sementara di Pantai Timur Sabah akan disiapkan hujung tahun ini. Anggota polis juga akan ditambah bagi menjalankan operasi itu dan memastikan tiada peningkatan jenayah," katanya.
Najib berkata, operasi turut memberi perhatian terhadap masalah kanak-kanak jalanan warga asing. "Keputusan yang dibuat ini melambangkan komitmen bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin seperti dikehendaki rakyat dan pemimpin parti politik Sabah," katanya.
Pejabat perwakilan Malaysia di Nunukan, Indonesia dan Zamboanga City, Filipina, diwujudkan bagi memudahkan permohonan visa warga negara terbabit bekerja di Malaysia.
No comments:
Post a Comment