Malaysia sudah menghulurkan sumbangan berjumlah RM2.437 juta melalui Tabung Bencana Alam Kementerian Luar Negeri bagi membantu mangsa tiga bencana alam di China dan Myanmar tahun ini.
Dalam kenyataan hari ini, kementerian berkenaan berkata daripada jumlah itu, RM1.109 juta dan RM179,156 disumbangkan kepada mangsa ribut salji dan gempa bumi di China.
Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim menyerahkan sumbangan bagi membantu mangsa ribut salji kepada Duta Besar Republik Rakyat China Cheng Yonghua, 3 Jun lalu.
Kementerian itu juga menerima sumbangan berjumlah kira-kira RM1.149 juta daripada orang ramai bagi membantu mangsa taufan Nargis di Myanmar Mei lalu, yang akan diserahkan kepada negara berkenaan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Kementerian berkenaan akan mengeluarkan penyata tabung itu secara bulanan dan butirannya boleh didapati dengan melayari www.kln.gov.my.
- Bernama
No comments:
Post a Comment