Kerajaan Negeri akan meneruskan pembinaan 12 empangan hidronya walaupun kumpulan pencinta alam sekitar dan NGO membantah
Sarawak akan meneruskan projek pembinaan 12 empangan hidro elektrik meskipun kumpulan pencinta alam sekitar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan jika projek itu diteruskan bakal memusnahkan alam sekitar.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu yang menyifatkan dakwaan itu sebagai pembohongan, berkata golongan terbabit hakikatnya tidak mengetahui berkenaan geografi, topografi, kawasan tadahan dan sungai yang terdapat di Sarawak.
“Semua dakwaan dan kebimbangan mereka terhadap projek pembinaan empangan hidro elektrik di Sarawak adalah satu pembohongan. Ini bertujuan memberi gambaran buruk kepada Sarawak.
“Kerajaan negeri tahu apa yang kita lakukan dan setiap projek akan diberi penilaian mendalam dari pelbagai aspek tanpa mengabaikan perspektif alam semulajadi,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan akhbar The Star kelmarin yang memuatkan kebimbangan pencinta alam sekitar dan NGO jika projek itu diteruskan. Katanya, kedudukan projek empangan Tutoh adalah jauh dengan Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Jabu juga tidak menolak kemungkinan beberapa negara akan mempercayai dakwaan itu memandangkan ia disebarkan di media internet secara meluas.
“Kita tidak boleh mengawal atau menyekat mereka daripada menyebarkan pembohongan kepada seluruh dunia,” katanya.
The Star melaporkan, Pengerusi Pusat Teknologi dan Pembangunan Alam Sekitar Malaysia (CETDEM) Gurmit Singh berkata, pembinaan empangan hidro elektrik yang banyak tidak perlu.
Katanya, Suruhanjaya Empangan Dunia mengkelaskan empangan yang menjana tenaga sebanyak 30 megawat dan ke bawah adalah memadai manakala yang berkapasiti lebih tinggi dikelaskan sebagai ‘tidak lestari’.
Sarawak merancang untuk membina 12 empangan secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai kapasiti tenaga antara 54 megawat dan 1,000 megawat.
“Kami juga berharap kerajaan persekutuan akan memberi nasihat kepada Sarawak agar tidak meneruskan projek,” katanya.
Ditanya adakah kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan NGO dan pencinta alam sekitar, Jabu membayangkan ia tidak perlu.
Katanya, kerajaan telah dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya dan oleh itu rancangan kerajaan adalah rancangan yang akan memanfaatkan rakyat.
Malah, tenaga yang murah selepas semua projek itu dibangunkan kelak akan dikongsikan dengan Semenanjung Malaysia atau dijual kepada negara-negara jiran.
“Dari aspek ekonomi, tenaga yang murah akan menggalakkan pelaburan dari luar masuk, apatah lagi kita merancang untuk membina syarikat melebur aluminium dalam kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.
No comments:
Post a Comment