Kokurikulum boleh seimbang mental, fizikal pelajar
Semua pelajar pengajian tinggi di Sarawak perlu membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan kemasyarakatan bagi memastikan pembangunan mental dan fizikal mereka seimbang.
Menteri Perumahan, Datuk Sri Abang Johari Tun Abang Openg, berkata langkah itu adalah selaras dengan hasrat untuk melahirkan graduan cemerlang serta mampu membawa negara ke arah pembangunan mantap pada jangka masa panjang.
“Dalam era globalisasi pada masa ini, pelajar akan menghadapi pelbagai cabaran dalam bidang politik, ekonomi dan sosial yang tidak menentu, malah turut berhadapan dengan kemajuan bidang lain antaranya teknologi maklumat yang perlu diterokai supaya tidak ketinggalan dengan negara lain,” katanya pada Malam Anugerah Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, semalam.
Pada majlis itu seramai 16 anugerah diberikan bagi mengiktiraf dan sumbangan siswa siswi sama ada secara individu dan berkumpulan yang berjaya dari segi akademik, kokurikulum serta menghargai pembabitan pelajar dalam mengharumkan Unimas sama ada di dalam atau di peringkat antarabangsa.
Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Khairuddin Ab Hamid, Setiuasaha Bahagian Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dr Saharudin Ismail dan Dekan Pusat Pemajuan Pelajar Unimas, Dr Othman Bojo. Johari berkata malam anugerah yang dianjurkan seperti ini perlu dijadikan penyuntik semangat pelajar menjadi lebih tekun, gigih dan mahir pelbagai bidang supaya mampu menghadapi cabaran akan datang atau sebaik saja ke luar melangkah ke alam pekerjaan.
“Anugerah pada malam ini adalah malam anugerah pra graduan menamatkan pengajian masing-masing dan ini adalah satu kelebihan kepada mereka untuk terus memotivasikan diri mencapai impian masing-masing,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata dengan adanya kemahiran dan kepakaran yang diperoleh sewaktu menimba pengajian sebelum ini, pelajar tidak perlu gusar berhadapan sebarang kemungkinan kerana mempunyai pengalaman yang mencukupi.
Bagaimanapun beliau berkata dengan adanya sokongan tenaga pengajar dan kakitangan berwibawa di Unimas, ia banyak membantu serta menggilap bakat siswa siswi hingga mereka mencapai ke tahap yang boleh dibanggakan.
“Saya percaya hasil daripada usaha semua pihak, siswa siswi yang menimba pengajian di Unimas mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang berjaya pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment