PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080716

Petronas sumbang RM67.6b


Bayar kepada kerajaan 63.1 peratus daripada untung kasar RM95.5b


Pembayaran Petronas kepada kerajaan meningkat kepada RM67.6 bilion tahun ini susulan keuntungan lebih tinggi yang diraih pada tahun kewangannya berakhir 31 Mac 2008. I
ni mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan kerajaan Persekutuan tahun ini yang dianggarkan berjumlah RM147.1 bilion dan kira-kira 30 peratus lebih tinggi daripada RM52.3 bilion yang dibayarnya tahun lalu.

Daripada yang dibayar Petronas kepada kerajaan tahun ini, RM30 bilion adalah dalam bentuk dividen termasuk dividen khas RM6 bilion, cukai (RM26 bilion), royalti kepada kerajaan Persekutuan (RM4.7 bilion), royalti kepada kerajaan negeri (RM4.8 bilion) dan duti eksport (RM2.1 bilion).
Presiden merangkap Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata pembayaran kepada kerajaan itu mewakili 63.1 peratus daripada keuntungan yang diraih kumpulan Petronas dalam tahun kewangan lalu. Bakinya digunakan untuk pelaburan semula iaitu sebanyak RM31.3 bilion, manakala RM8.2 bilion lagi adalah untuk pembayaran kepentingan minoriti dan cukai di negara asing.

"Pelaburan semula itu penting bagi memastikan Petronas dapat meneruskan operasi dan pertumbuhannya bagi memastikan ia terus menyumbang kepada pendapatan kerajaan pada masa depan," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008, semalam.
Mohd Hassan berkata, dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008, Petronas meraih keuntungan sebelum cukai RM95.5 bilion, naik 25.2 peratus daripada RM76.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Selepas ditolak cukai dan kepentingan minoriti, keuntungan bersih Petronas meningkat 31.3 peratus kepada RM61 bilion daripada RM46.4 bilion.
Keuntungan itu diraih daripada pendapatan berjumlah RM223.1 bilion, meningkat 21.2 peratus daripada RM184.1 bilion tahun kewangan lalu.
"Selain keupayaan Petronas membendung kenaikan kos, prestasi kewangan lebih baik itu juga sebahagian besarnya disumbangkan peningkatan kecekapan operasi perniagaannya," katanya.

Mohd Hassan berkata, operasi antarabangsa muncul sebagai penyumbang utama pendapatan Petronas tahun lalu dengan sumbangan 40.3 peratus, sementara operasi domestik dan eksport pula masing-masing 20.8 peratus dan 38.9 peratus.
"Sumbangan operasi antarabangsa lebih tinggi dan pengurangan kebergantungan kepada operasi domestik itu mencerminkan kejayaan strategi globalisasi Petronas selama ini," katanya.
Beliau turut menjelaskan, penerokaan Petronas dalam sektor pembuatan seperti penapisan, pemprosesan gas, gas asli cecair (LNG) dan petrokimia telah meningkatkan nilai sumber petroleum negara.
"Sebagai contoh, Petronas hanya mampu menjana RM49.1 bilion jika ia hanya menjual minyak dan gas dalam bentuk mentah.
Bagaimanapun menerusi penerokaan dalam kegiatan pembuatan, Petronas telah menokok nilai sebanyak RM71.4 bilion untuk menghasilkan pendapatan pembuatan sebanyak RM120.5 bilion," katanya.
Pengeluaran minyak dan gas Malaysia tahun lalu adalah berjumlah 1.67 juta tong bersamaan minyak sehari, merangkumi 691,600 tong minyak mentah dan kondensat serta 981,900 tong bersamaan minyak bagi gas.
Rizab minyak mentah Malaysia kini adalah berjumlah 5.46 bilion tong dan mampu bertahan untuk sekurang-kurang 22 tahun lagi.

No comments: