Pemimpin Umno pelbagai peringkat berpendapat keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno menunda tarikh perhimpunan agung parti dari Disember kepada Mac tahun depan bagi mempermudahkan pelan peralihan kuasa setahun lebih awal, sebagai tepat dan bukti permuafakatan pada peringkat tertinggi parti. Mengikut persetujuan sebelum ini, pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak adalah pada Jun 2010.
Keputusan ini juga dikatakan akan memudahkan kebanyakan Umno bahagian yang menunggu isyarat lebih jelas sebelum mencalonkan nama dua pemimpin tertinggi parti pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Perdana Menteri pada sidang media selepas mesyuarat khas MT kelmarin membayangkan pelan peralihan kuasa itu akan berubah tanpa menyatakan dengan jelas tarikh sebenar beliau akan melepaskan jawatan berikutan penangguhan perhimpunan agung itu. Ahli MT, Datuk Shahrir Samad, ketika diminta mengulas keputusan MT itu berpandangan bahawa proses peralihan kuasa sudah berlaku walaupun Abdullah belum menyerahkan jawatan Perdana Menteri secara rasmi.
Dari segi politik dan psikologi, katanya, Abdullah sudah menyerahkan sebahagian kuasa kepada Najib dan ini diperkukuhkan dengan penangguhan perhimpunan agung dan pemilihan parti.
"Sesetengah pihak sebelum ini meminta Perdana Menteri mempercepatkan peralihan kuasa, tetapi proses itu sudah pun berlaku, terutama selepas beliau menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib," katanya ketika dihubungi Berita Minggu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan Abdullah untuk mempercepatkan peralihan kuasa amat tepat bagi membolehkan parti itu membuat persediaan awal menghadapi pilihan raya umum ke-13. Beliau berkata, berdasarkan keadaan sekarang, banyak perkara perlu dilakukan Umno bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
"Kita lihat banyak perkara perlu dilakukan oleh Umno sebab itu kita mahu Najib mendapat sokongan padu dan walaupun berundur, kita berharap Pak Lah akan terus memberi sokongan.
Kita mahu semua tenaga Umno digemblengkan baik Pak Lah, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun Musa Hitam," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata keputusan MT dilakukan secara berhemah dengan mengambil kira persetujuan pemimpin dan ahli akar umbi.
"Keputusan ini diambil menerusi perbincangan kedua-dua pemimpin tertinggi Umno dan saya yakin ia mengambil kira pelbagai faktor, terutama menjaga kestabilan politik parti," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mengulas pelan peralihan kuasa dijangka lebih awal, Mahdzir berkata, perkara itu wajar diserahkan kepada Perdana Menteri dan timbalannya dan yakin proses itu akan dilaksanakan pada waktu yang sesuai. Ketua Umno bahagian Rasah di Negeri Sembilan, Datuk Hashim Rusdi, berkata keputusan mesyuarat khas MT penting bagi mengelakkan pemimpin atasan parti dilihat tidak bermuafakat dan bercakaran sesama sendiri yang menyebabkan ahli biasa bertambah keliru.
Katanya, kebanyakan Umno bahagian kini menunggu isyarat lebih jelas mengenai peralihan kuasa sebelum mencalonkan nama untuk dua pemimpin tertinggi parti dalam pemilihan parti Mac tahun depan.
"Pemimpin tertinggi parti perlu berkompromi terlebih dulu. Saya percaya ini akan memudahkan bahagian Umno seluruh negara untuk mencalonkan nama pemimpin bagi jawatan penting parti dalam mesyuarat bahagian mulai Oktober ini," katanya.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, berpandangan peralihan kuasa lebih awal mencerminkan kesediaan Presiden Umno mendengar pandangan pemimpin dan ahli akar umbi Umno.
Katanya, walaupun ada desakan daripada beberapa pemimpin kanan parti dan ahli MT untuk mempercepatkan proses peralihan kuasa, tetapi faktor kesediaan Abdullah sendiri adalah penting bagi menjamin proses itu berjalan lancar.
Saya percaya keputusan mempercepatkan proses peralihan dapat meredakan ketegangan dalam Umno dan membolehkan parti itu menangani cabaran parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat," katanya. Di PASIR PUTEH, Pengerusi Persatuan Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Ishak berkata, keputusan itu menunjukkan Abdullah lebih mengutamakan perjuangan daripada diri sendiri apabila mengambil kira pandangan orang ramai, sayap Puteri dan Umno bahagian.
"Pak Lah lebih sensitif dengan pandangan ahli parti dan ini satu pengorbanan besar yang ditunjukkan seseorang pemimpin," katanya.
Rozali bagaimanapun berharap selepas ini tidak ada lagi pihak yang mendesak Perdana Menteri mengundurkan diri kerana tempoh yang diambil sudah cukup untuk melakukan peralihan.
No comments:
Post a Comment