PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080912

Pemecatan tujuh ketua kampung bukan didorong unsur-unsur politik

Pemecatan tujuh ketua kampung dari kawasan Bau dan Lundu baru-baru ini bukan didorong unsur-unsur politik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Peter Nansian Ngusie.

Beliau yang menafikan laporan sebuah portal berita internet, memberitahu perkara itu tidak ada kena mengena dengan pembabitan mereka dalam Pilihan Raya Umum pada Mac lepas.

Sebaliknya kerajaan tidak meneruskan perkhidmatan mereka kerana tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan, jelas beliau.

“Beberapa daripada mereka tidak menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan ada juga yang lanjut usia.

“Dan saya dengar ada tiga atau empat daripada mereka bercadang meletak jawatan atas faktor usia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, tindakan tidak meneruskan khidmat mereka yang gagal menunjukkan prestasi baik merupakan satu perkara normal dalam amalan kerajaan.

Portal berita berkenaan menyatakan tujuh ketua kampung daripada komuniti Bidayuh itu dipecat kerana terlibat dengan pembangkang dalam pilihan raya pada 8 Mac lepas. Mereka dipecat pada 31 Julai.

Mereka yang terbabit ialah Yassin Abdullah @ Jasin Nuing Ketua Kampung Tembawang dan Ajom Noyek dari Kampung Stenggang dari kawasan Bau.

Antara lain, mereka telah menerima memo daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 5 Julai lepas yang ditandatangi Sarudu Hoklai memberitahu kerajaan akan menamatkan perkhidmatan mereka berkuat kuasa penghujung bulan Julai.

Ketua kampung yang dilantik diberi elaun bulanan RM300 atas perkhidmatan mereka.

Surat amaran telah dikeluarkan kepada ketujuh-tujuh bekas ketua kampung berkenaan oleh Pegawai Daerah Bau Tom Hem Mijod pada 3 Mac lalu, lima hari sebelum pilihan raya umum bermula.

Pegawai Daerah menyebut di dalam suratnya bahawa beliau telah menerima beberapa laopran yang memaklumkannya bahawa mereka telah berkempen bagi pihak pembangkang dan bukan calon yang dipilih Barisan Nasional (BN).

Beliau seterunya memberi amaran, jika mereka tidak menghentikan kegiatan mereka, tindakan lanjut termasuk permecatan akan diambil ke atas mereka.

Sementara itu Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Dr Patau Rubis yang turut dipetik dalam laporan portal berkenaan berkata, pemecatan ini bertentangan dengan hak asasi sejagat dan hak asasi manusia.

Sehubungan itu, Dr Patau memberitahu akan merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Dahulu, proses pemilihan ketua kampung adalah di tangan penduduk kampung masing-masing. Berbeza dengan sekarang, kerajaan telah mengawal segalanya termasuk pemilihan ketua kampung,” katanya.

“Kalau ketua kampung boleh dieksploitasi, apa akan terjadi dengan tanah NCR?,” tegasnya lagi.
Sementara itu, tiga ketua kampung telah mendapatkan nasihat daripadanya dan sehubungan itu, beliau telah menulis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Wilson Baya Dandot, untuk memaklumkannya bahawa pemecatan itu adalah salah.

Menurut laporan itu lagi, empat ketua kampung turut berjumpa dengan Penasihat Undang-undang Parti Keadilan Rakyat (PKR) See Chee How selaku Ketua PKR Bahagian Stampin untuk kemungkinan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa.

Hampir kesemua kawasan Bau-Lundu berada di bawah kawasan Parlimen Mas Gading.

Dalam Pilihan Raya Umum Mac lalu, Dr Tiki Lafe (BN-SPDP) berjaya mempertahankan kerusi untuk penggal ketiga berturut-turut selepas mendapat majoriti 4,301 undi dalam pertandingan empat penjuru.

No comments: