PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080929

Saluran TV Sabah, Sarawak mulai 2011

Siaran khusus tonjol budaya unik penduduk

Saluran TV Sarawak dan TV Sabah dijangka dapat menemui penonton menjelang 2011 selepas kerajaan bersedia menyediakan siaran khusus bagi mengetengahkan budaya penduduk di kedua-dua negeri berkenaan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata saluran berkenaan seiring dengan penstrukturan semua rangkaian di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari sistem analog kepada digital.

"Melalui program penstrukturan ini, tidak mustahil akan ada TV Sarawak, TV Sabah dan TV Wilayah kerana kita dijangka akan mempunyai lebih banyak saluran televisyen berbanding dua ketika ini.

"Persediaan ke arah itu (TV Sarawak dan Sabah) memang sudah ada namun perancangan rapi termasuk menentukan isi kandungan harus difikirkan mulai sekarang," katanya ketika merasmikan Anugerah Muzik Dayak 2008 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak di sini, semalam.

Seramai 87 penyanyi, komposer dan penulis lirik mengambil bahagian dalam majlis yang pertama kali diadakan membabitkan 29 kategori yang dibahagi mengikut suku Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Shabery berkata, beliau sudah mengarahkan RTM Sarawak dan Sabah bersiap sedia memulakan siaran saluran televisyen berkenaan yang akan menjadi kekuatan kepada RTM bagi bersaing menarik penonton di sana.

"Saya menyuruh mereka bersedia kerana dalam tempoh tiga tahun lagi kita akan ada TV Sarawak yang menyiarkan berita mengenai negeri ini dengan harapan tidak timbul lagi isu penduduk di sini meminta setengah jam masa siaran bagi lagu Dayak.

"Saluran televisyen berkenaan akan hanya menyiarkan program berkaitan penduduk peribumi termasuk suku Dayak yang mengetengahkan pelbagai bahasa serta budaya supaya persefahaman dan perpaduan kaum dapat dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, ini penting kerana rakyat tempatan mahukan maklumat dan melihat perkara yang berlaku di sekeliling termasuk aktiviti pihak berkuasa tempatan, masalah kemiskinan serta budaya tempatan lebih dari bahan pada peringkat nasional atau antarabangsa.

Katanya, banyak negara sudah menghentikan siaran analog dan RTM perlu memberhentikan sistem terbabit menjelang 2015 dengan usaha memulakan sistem digital sebelum tarikh itu sedang dilakukan.

"Sistem digital akan mampu menyediakan 18 hingga 20 saluran televisyen, tetapi saya memberitahu bahawa penstrukturan ini bukan bertujuan memasukkan lebih banyak kandungan luar. "Idea kreatif dari Amerika dan Eropah adalah bagi industri mereka tetapi kandungan industri tempatan mestilah dihasilkan orang kita sendiri dan ia diyakini cukup kuat," katanya.

No comments: