PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080910

Kenaikan mendadak harga barang perlu dipantau

SETIAP kali tiba musim perayaan, khususnya Aidilfitri, isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan barang keperluan sering menghantui pengguna. Walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah memberi jaminan semua barang keperluan pada musim perayaan tahun ini mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, kenaikan harga nampaknya sukar dibendung.

Menterinya, Datuk Shahrir Samad sekadar memberi jaminan bahawa syarikat pengeluar, pengimport, pengilang, persatuan peniaga, sektor pengangkutan dan perkhidmatan serta agensi kerajaan terbabit mencapai kata sepakat bahawa kekurangan bekalan dan perbuatan menyorok barang tidak akan berlaku. Kita mengalu-alukan jaminan Shahrir mengenai bekalan mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri, tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan barang dijual dengan harga munasabah.

Sejak kebelakangan ini, keperluan dapur seperti beras, minyak masak, ikan, ayam, daging dan sayur turut melambung hingga menimbulkan keresahan suri rumah untuk menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa. Kerajaan seharusnya bertindak proaktif memastikan peniaga tidak mengaut untung berlebihan. KPDNHEP perlu menggerakkan penguat kuasanya memantau harga barang sepanjang musim perayaan kerana ada pengguna mengadu kenaikan mendadak harga barang sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Kerajaan juga perlu sentiasa memantau bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan tanda harga dan pengguna tidak dibebani harga tinggi, terutama barang kawalan. Pemantauan dan tindakan harus dibuat tanpa menunggu aduan atau maklumat daripada orang ramai. Kita sedar sepanjang puasa dan menjelang hari raya, permintaan bertambah sekali ganda dan dalam tempoh itu biasanya harga turut meningkat.

Antara usaha ialah mengadakan skim pemantauan harga. Dengan cara itu bekalan akan mencukupi dan tidak ada sebab mengapa harga perlu dinaikkan. Ada 17 jenis barang terpilih di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) akan diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan. Antaranya, ayam, daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), kambing biri-biri import bertulang, daging kambing import tanpa tulang, ikan kembung tempatan, dan telur ayam gred A, B dan C. Selain itu, kerajaan harus memantau tindakan pasar raya besar seluruh negara membuat promosi potongan harga yang mengelirukan pengguna.

Ada banyak aduan daripada pengguna yang berasa tertipu dengan tindakan pasar raya yang membuat untung besar di sebalik iklan potongan harga 40 hingga 70 peratus. Dalam pada itu, orang ramai perlu menggunakan kuasa sebagai pengguna untuk memboikot barang yang dinaikkan harga keterlaluan dan mengelak daripada terbeli makanan mahal.

Peniaga terbabit berkemungkinan mengambil kesempatan di atas pemberian bonus untuk kakitangan awam yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2009, baru-baru ini.

Sepatutnya, golongan peniaga dan pemborong perlu menggalas tanggungjawab sosial, bukan saja memastikan pengguna mendapat bekalan mencukupi sepanjang masa termasuk pada musim perayaan, tetapi tidak menjualnya dengan harga keterlaluan.

No comments: