PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080928

Penduduk minta Ketua Menteri atasi isu tanah

Beberapa penduduk kampung memegang poster dan risalah yang menunjukkan bahawa tanah tersebut adalah tanah NCR milik mereka, semasa protes secara aman di Simpang Kampung Beraya

Penduduk dari 13 buah kampung di sini mengadakan protes secara aman untuk meminta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud turun padang dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah hak adat bumiputera (NCR) rakyat di negeri ini.

Protes yang diadakan pada pukul 8 pagi ini, di Simpang Kampung Beraya kira-kira 40 minit dari bandar raya Miri, disertai penduduk dari Kampung Batu Satu, Kejapil, Keluru Tengah, Keluru Jaya, Subak, Sepurau, Selanyau, Opak, Tusan, Uban, Terhad dan Beraya.

Penduduk terbabit merayu, Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak supaya bertindak segera terutama bagi menyelesaikan isu tanah NCR termasuk milik mereka yang kini dituntut oleh sebuah syarikat pemaju di sini.

Penghulu Sahar berkata, syarikat terbabit menerusi notis yang dikeluarkan pada 15 September lepas telah meminta penduduk mengosongkan tanah NCR mereka dalam tempoh 14 hari.

Tindakan syarikat terbabit, katanya, amat mengejutkan penduduk memandangkan tanah yang dituntut oleh syarikat itu merupakan tanah NCR milik penduduk dari 13 buah kampung tersebut.

''Justeru kita merayu Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sarawak supaya campur tangan pada kadar segera bagi menyelesaikan isu tanah penduduk di sini.

''Lagipun tanah yang dirampas syarikat tersebut kini sudahpun diusahakan penduduk dengan pelbagai tanaman yang kini sudahpun mengeluarkan hasilnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat terbabit sudahpun melakukan kerja-kerja pembersihan tapak yang merangkumi keluasan 5,500 hektar.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Keluru Jaya, Bingkil Bangkol memberitahu kawasan tersebut sudah diduduki masyarakat Kedayan yang berhijrah dari Brunei sejak tahun 1910.
Katanya, antara bukti yang boleh mengesahkan dakwaan penduduk itu termasuklah tanah perkuburan Islam yang masih lagi terdapat di kawasan berkenaan.

''Tanah perkuburan yang terdapat di situ termasuklah tanah perkuburan Isla Kejapil, Kubit Butir, Kubur Sungai Jalil, Uban dan Kubur Sungai Payau," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri harus mencari jalan penyelesaian segera bagi menjamin keselamatan tanah NCR penduduk daripada dirampas pihak lain.

Dalam pada itu, pemerhati politik melihat isu pemilikan tanah NCR yang kini semakin menjadi tekanan besar bagi rakyat khususnya di kawasan luar bandar akan menjadi senjata utama pembangkang menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Isu tanah NCR amat sensitif dan dekat di hati rakyat disebabkan ia sebahagian daripada aset yang telah diwariskan daripada nenek moyang kepada mereka.

Utusan Malaysia 28/09/08

No comments: