Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan menempatkan 124 anggota penguat kuasa di semua terminal dan jeti di negeri ini bagi memantau operasi bot-bot ekspres sepanjang musim perayaan ini.
Pengawal, Mohamad Yakup Kari berkata, LSS menganggarkan seramai 10,000 penumpang akan memilih menggunakan bot ekspres sepanjang tempoh enam hari iaitu tiga hari sebelum dan tiga hari selepas Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, memandangkan keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini, pengusaha bot ekspres dinasihati supaya lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan penumpang serta mematuhi arahan yang ditetapkan.
''Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pengusaha bot ekspres ini sekiranya terbukti mereka melanggar peraturan yang ditetapkan seperti tidak menjaga keselamatan penumpang," katanya di sini semalam.
Mohamad Yakup berkata, LSS bagaimanapun membenarkan pengusaha bot-bot ekspres memohon permit bot tambahan jika keadaan memerlukan.
''Permit itu akan diluluskan dalam tempoh yang singkat," ujarnya.
Beliau memberitahu, kompaun RM2,000 akan dikenakan kepada pengusaha bot ekspres yang didapati menaikkan harga tambang melebihi kadar yang dibenarkan.
Sementara itu, Mohamad Yakup berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya merekodkan seramai 1.6 juta penumpang menggunakan pengangkutan sungai.
Beliau berkata, ia membuktikan bahawa bot ekspres masih menjadi pilihan utama rakyat terutama di kawasan yang belum mempunyai rangkaian jalan raya.
Jelasnya, Sungai Batang Rajang yang juga sungai terpanjang di negara ini bukan sahaja digunakan untuk membawa penumpang dari satu destinasi ke destinasi lain tetapi juga digunakan untuk mengangkut kargo.
''Sehubungan itu, LSS sentiasa melakukan penambahbaikan seperti menyediakan tempat pemunggahan kargo dan penumpang serta membina papan tanda yang sempurna memandangkan lebih 300 bot ekspres beroperasi di sepanjang sungai di negeri ini," jelas beliau.
No comments:
Post a Comment