Mufti dan pakar agama berpendapat kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS tidak menyalahi hukum syarak, malah menggalakkan penggunaan teknologi moden yang memudahkan umat Islam melaksanakan tuntutan syariat.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pihaknya tidak menghalang pembayaran zakat fitrah melalui SMS dengan syarat ia diuruskan dengan amanah, profesional dan cekap.
“Majlis Fatwa secara prinsipnya bersetuju dengan penggunaan kaedah itu kerana berpendapat ia memberi manfaat dan membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Jika pengagihan zakat fitrah melalui SMS mampu dilaksanakan secara berkesan dan betul, kita menggalakkan badan atau lembaga zakat negeri lain untuk mencontohi langkah Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau mengulas langkah LZS serta Celcom Sdn Bhd kelmarin menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui SMS bagi memudahkan umat Islam di Selangor melaksanakan tanggungjawab mereka.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, berkata hukum pembayaran zakat menerusi SMS adalah sah dan dibenarkan Islam.
“Tidak menjadi masalah jika umat Islam membayar zakat menerusi SMS. Cuma dari segi penghayatan tanggungjawab membayar zakat itu mungkin tidak sama seperti membayar terus kepada amil. “Lebih afdal jika umat Islam bayar zakat fitrah terus kepada amil,” katanya.
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata LZS membuat keputusan menerima pelawaan Celcom berikutan mendapat aduan daripada warga Selangor yang tidak sempat menunaikan tanggungjawab mereka kerana tidak mempunyai masa.
“Langkah itu diambil bagi memberi warga Selangor yang sibuk bekerja pilihan lain bagi membayar zakat fitrah kerana pekerja, contohnya pemandu lori serta bas tahun lalu mengadu mereka tidak sempat membayar zakat fitrah kerana sibuk bekerja,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmuddin Abdullah ketika dihubungi, berkata, beberapa negeri turut berminat melaksanakan pengutipan zakat fitrah menerusi SMS.
“Beberapa majlis agama negeri yang ditemui Celcom bersetuju bekerjasama dan mereka kini membuat penilaian akhir sebelum melaksanakannya, sama ada tahun ini atau tahun depan.
“Perkhidmatan ini disediakan Celcom secara percuma sebagai tanggungjawab sosial kami.
“Pengguna Celcom boleh menggunakan perkhidmatan ini sehingga jam 8 malam pada hari terakhir Ramadan,” katanya.
BH 9.9.08
No comments:
Post a Comment