PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081019

Timbalan Presiden MCA: Soi Lek buat kejutan

Ong Tee Keat (kiri) dan Chua Soi Lek meraikan kemenangan masing-masing selepas pengumuman keputusan pemilihan jawatan tertinggi MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur

18 Okt. – Datuk Ong Tee Keat menepati ramalan apabila dipilih sebagai Presiden MCA yang baru menewaskan Datuk Chua Jui Meng pada pemilihan parti itu hari ini dengan majoriti 512 undi.

Tee Keat yang juga Naib Presiden MCA memperoleh 1,429 undi manakala Jui Meng mendapat 917 undi dengan 22 undi rosak.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pula mencipta kejutan apabila beliau yang terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal video seks berjaya menewaskan tiga calon lain untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden MCA.

Bekas Naib Presiden MCA itu memperoleh 1,115 undi untuk mengatasi Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (209) dan Lee Hack Teik (10 undi).

Kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MCA ditandingi selepas penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy membuat keputusan tidak mempertahankannya pada pemilihan kali ini.

Bagi jawatan Naib Presiden, bekas Ketua Wanita MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen mencatat sejarah apabila berjaya menduduki satu daripada empat kerusi tersebut bersama Datuk Kong Cho Ha, Datuk Liow Tiong Lai dan Tan Kok Hong.

Mereka menewaskan empat lagi calon iaitu penyandang jawatan Datuk Dr. Fong Chan Onn, Lim Teck Chong, Datuk Chor Chee Heung dan Datuk Yap Pian Hon.

Proses pemilihan parti yang diadakan di Wisma MCA di sini berjalan lancar selepas ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seramai 2,378 perwakilan dari seluruh negara menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 itu.

Sementara itu, Presiden MCA yang baru, berjanji akan meneruskan reformasi parti seperti yang telah dijanjikan dan meminta ahli parti menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan pada pemilihan hari ini.

Menurutnya, beliau amat berterima kasih kepada para perwakilan yang telah memberi mandat kepadanya untuk memimpin parti.

‘‘Saya akan bekerjasama dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk memimpin parti pada masa depan.

‘‘Sebenarnya tiada perbalahan antara saya dengan Soi Lek, cuma pandangan kami mungkin berbeza dalam sesetengah perkara sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan pemilihan parti di Wisma MCA di sini malam ini.

Soi Lek pula yang membuat kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden berkata, beliau sangat berpuas hati dengan keputusan pemilihan kali ini dan menghargai sokongan dan galakan yang telah diberikan oleh para perwakilan.

‘‘Saya akan bekerjasama dengan Tee Keat dan ahli jawatan kuasa pusat yang baru dilantik untuk memperbaharui imej parti .

‘‘Kita mahu mengukuhkan parti untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina terhadap MCA,” katanya.

No comments: