Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2008 akan dipamerkan mulai hari ini hingga 3 Novembr depan di 985 tempat seluruh negara selaras dengan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabri Said, berkata ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat Pos Berkomputer, Kompleks/Pejabat Kerajaan, Pejabat Daerah/Pejabat Tanah, Majlis Daerah/Perbandaran serta Dewan Serbaguna, Rukun Tetangga, Balai Raya dan Balai Penghulu.
"Sepanjang tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga di antara Julai hingga September tahun ini, SPR telah menerima 24,531 permohonan pemilih baru dan 6,200 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi.
"Sehubungan itu mana-mana warganegara Malaysia yang terbabit dalam kedua-dua permohonan tersebut diminta agar menyemak Rang Daftar Pemilih yang dipamerkan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mana-mana individu yang mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam daftar pemilih itu boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B dalam tempoh tujuh hari dari tarikh daftar pemilih dipamerkan. Pemilih yang ingin membuat bantahan atas kemasukan mana-mana nama pemilih bagi bahagian tertentu pula boleh berbuat demikian dengan menggunakan Borang C juga dalam tempoh tujuh hari.
Daftar itu juga mempamerkan nama-nama yang dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab kematian, lucut hak warganegara, persaraan daripada Angkatan Tentera Malaysia atau Polis Diraja Malaysia dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, semua waris bagi pemilih yang meninggal dunia diminta menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur kepada Pejabat Pilihan Raya di kawasan masing-masing.
"Ia boleh dihantar menerusi faks, pos atau datang sendiri ke pejabat SPR yang berdekatan," katanya. Bagi penyemakan Daftar Pemilih Induk 2007 untuk sebarang pembetulan ke atas butir-butir diri pula, Sabri berkata ia boleh dilakukan menerusi e-mel kepada info@spr.gov.my, surat atau datang sendiri ke pejabat SPR.
Sebarang pertanyaan lanjut hubungi ibu pejabat SPR di talian 03 88856500 atau menerusi faks di talian 03 88889117 atau pejabat SPR atau laman web SPR di http://www.spr.gov.my.
- Bernama
No comments:
Post a Comment