PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20081014

Tempatkan pelajar asing satu kawasan

Jabatan Imigresen mencadangkan supaya pelajar asing yang melanjutkan pengajian di negara ini ditempatkan di satu kawasan tertentu memandangkan mereka mempunyai budaya yang begitu asing dengan rakyat di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam berkata, pelaksanaan kaedah itu turut dapat membantu pihaknya memantau secara dekat pelajar asing itu dan sekiranya menimbulkan masalah pas pelajar mereka dibatalkan serta merta.

Menurutnya, terdapat sesetengah budaya pelajar asing ini yang gemar berpesta selepas waktu tengah malam hingga mabuk dan ini mengganggu ketenteraman orang awam.

"Budaya pelajar dari segelintir negara ini sangat berbeza dengan kita dan mereka suka berpesta selepas waktu tengah malam malah apabila bila mereka mabuk akan mengganggu orang lain.

"Kalau boleh mereka (pelajar asing) ini perlu tinggal satu tempat tertentu bersama-sama rakan-rakan dari negara yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat daripada Pengarah Imigresen Sarawak, Robert Lian sempena lawatannya ke negeri ini di Ibu Pejabat Imigresen Sarawak di Bangunan Iskandar di sini.

Mahmood berkata, jabatan itu telah mengeluarkan sebanyak 51,638 pas pelajar sejak Januari hingga Ogos di Semenanjung manakala di Sarawak pula sejumlah 5,209 pas pelajar asing diberikan.

Katanya, di Sarawak tidak mengalami masalah dalam menghadapi pelajar asing memandangkan institusi pengajian tinggi (IPT) di sini akan melaporkan kepada Jabatan Imigresen sekiranya pelajar asing tersebut tidak hadir kelas selama tiga kali berturut-turut.

Tambahnya, dengan laporan tersebut, Jabatan Imigresen boleh bertindak dengan membatalkan pas pelajar asing terbabit dan mengusirnya keluar dari negara ini.

"Jabatan Imigresen mengawal ketat kemasukan pelajar asing ini bagi mengelak mereka yang bermasalah masuk ke negara ini termasuk memberi satu salinan pas pelajar asing kepada penguatkuasaan yang lain seperti polis untuk pemeriksaan serta pemantauan.

"Saya gembira dengan pengurusan Jabatan Imigresen di Sarawak yang dapat menjalankan fungsi dan peranan jabatan dengan baik sekali termasuk kemasukan pelajar dan warga asing ke negara ini," katanya.

13/10/2008

No comments: