Pelajar IPT daftar hujung tahun layak nikmati kadar 1 peratus
Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang baru mendaftar pada pengambilan Disember ini adalah golongan peminjam pertama yang akan menikmati kadar baru caj perkhidmatan satu peratus bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, berkata bagi peminjam terdahulu pula, beberapa perkara perlu diselaraskan untuk membolehkan mereka menikmati kadar satu peratus.
"Dakwaan sesetengah pihak dan peminjam bahawa mereka dikecualikan daripada mendapat caj perkhidmatan baru itu sekiranya tidak membuat bayaran atau bayaran tidak konsisten adalah tidak benar.
"Kita sudah mencari mekanisme yang sesuai untuk membolehkan semua peminjam mendapat kadar baru itu dan perincian mengenai penyelarasan itu akan diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penurunan caj perkhidmatan PTPTN kepada satu peratus berbanding tiga peratus bagi pelajar diploma dan ijazah sarjana muda serta lima peratus untuk pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) sebelum itu.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan peminjam PTPTN yang gagal menyelesaikan pinjaman mereka mengikut jadual sehingga 31 Mei lalu, tidak akan menikmati pengurangan caj perkhidmatan satu peratus.
Sebaliknya, mereka akan dikenakan caj pinjaman pada kadar lama iaitu tiga peratus atau lima peratus. Mohamad Shahrum berkata, sehingga kini, kadar pinjaman tertunggak direkodkan RM1.9 bilion membabitkan 563,494 peminjam.
"Sebanyak 72 peratus peminjam sudah membayar pinjaman mereka mengikut pelan yang disediakan dan ada juga yang tidak konsisten membuat bayaran. Daripada jumlah itu, RM913.56 juta berjaya dikutip sejak PTPTN mula diperkenalkan pada tahun 1997.
"Masih ada baki 28 peratus peminjam yang tidak pernah membuat bayaran dan diharap dengan kadar baru ini, mereka akan mula membayar pinjaman berkenaan," katanya.
Ditanya apakah bentuk tindakan yang akan dikenakan kepada peminjam tegar, Mohamad Shahrum berkata, ia bergantung kepada setiap kes kerana PTPTN tidak mahu mengenakan hukuman keras kepada peminjam yang benar-benar tidak berkemampuan untuk membuat bayaran balik.
"Tindakan perlu mengambil kira kemampuan bagi mengelak penganiayaan tidak mampu berbanding golongan berada," katanya.
No comments:
Post a Comment