PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20091103

Wartakan segera fatwa haram merokok

SECARA teorinya 1 Januari ini akan bermulalah langkah terbaru kerajaan bagi mengekang tabiat buruk yang kian bersarang dan bercambah dalam kalangan masyarakat iaitu merokok.

Ketika ini, banyak saranan disuarakan bagi menyokong usaha berkenaan. Antaranya, menaikkan harga rokok sehingga menjadi RM30 sekotak.

Walaupun mendapat banyak bantahan, cadangan itu dilihat sebagai satu lagi usaha bersungguh-sungguh untuk memberitahu rakyat mengenai bahaya rokok.

Apa yang nyata, sungguh sukar untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rokok. Ramai yang tahu tetapi buat-buat tidak tahu akan bahaya merokok.

Tanggapan bahawa "merokok pun bukannya kena apa-apa" merupakan suatu pernyataan yang angkuh dan cuba mendustakan kebenaran.

Hatta bagi seorang yang 'pakar' merokok pun tidak boleh menafikan bahaya tabiat ini. Bahkan ia lebih tidak berperi kemanusiaan kerana sanggup 'berseronok' sendirian dan membiarkan kesannya ditanggung oleh orang-orang di sekitar. Kesan perokok pasif ini telah dibuktikan dengan begitu meluas dalam jurnal-jurnal perubatan antarabangsa.

Statistik semasa menunjukkan angka yang kian membimbangkan walaupun pelbagai usaha berterusan diterapkan dalam masyarakat. Contohnya, kajian yang dijalankan di sebuah negeri di Malaysia menunjukkan 15 peratus daripada 1.1 juta penduduknya adalah perokok.

Angka ini bersamaan dengan 167,100 orang dan apa yang lebih menakutkan ialah peningkatan yang agak tinggi dikenal pasti dalam kalangan mereka yang berumur 13 hingga 18 tahun.

Dan kita percaya angka-angka yang sama juga ditunjukkan di negeri-negeri lain jika kajian dibuat.

Seperkara yang mungkin paling berkesan yang belum dilakukan oleh kerajaan ialah mewartakan fatwa haram merokok seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan 1995.

Walaupun ia dilihat sebagai berat dan mempunyai pelbagai implikasi ekonomi dan perundangan, namun alternatifnya pasti ada. Pewartaan ini menggambarkan kesepakatan semua pihak yang merasakan adalah menjadi tanggungjawab bersama membasmi tabiat merokok. Ia bukan hanya tanggungjawab Kementerian Kesihatan yang bermati-matian memeranginya sedangkan tidak dipedulikan oleh pihak lain.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat termasuk juga golongan berilmu yang berselindung di sebalik 'makruhnya' hukum merokok sedangkan kenyataan tersebut merupakan suatu yang telah tamat tempohnya.

Juga para penjual yang tidak nampak salahnya menjual rokok kerana pengharamannya tidak diwartakan.

Entah dari mana perkataan makruh merokok ini diperoleh pun tidak diketahui melainkan diwarisi secara turun-temurun oleh mereka yang mencari alasan untuk terus kekal dengan tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini.

Walhal, jelas sekali berdasarkan fakta dan kajian terkini terbukti akan mudaratnya bukan sahaja mengatasi manfaat bahkan ia tiada sedikit pun manfaat selain khayalan-khayalan yang boleh direka-reka.

Kesepakatan antara penemuan-penemuan perubatan serta prinsip-prinsip dalam agama yang menjadi panduan dan membawa kesejahteraan umatnya sewajarnya menjadi paksi yang lebih kukuh berbanding alasanalasan berdasarkan tanggapan yang langsung tiada meritnya dalam apa jua bidang ilmu.

Persepsi merupakan suatu yang penting dalam menggalak atau mencegah sesuatu perlakuan.

Jika hanya sekelompok masyarakat yang menganggap perbuatan merokok ini menjijik dan merosakkan tetapi majoriti masih belum menukar paradigma lama yang menganggap ia adalah masalah individu, maka selama itulah ia akan berlarutan sebagai masalah kronik dalam masyarakat.

Dengan pewartaan haramnya merokok dan disebarkan melalui media secara lebih terbuka dan berkesan, persepsi akan mula diubah dengan lebih mudah berbanding dengan kaedah-kaedah berlembut seperti menaikkan harga sedikit demi sedikit, menambah senarai kawasan larangan merokok dan kempen-kempen yang selama ini dijalankan.

Mereka yang menghisap rokok akan dilihat sebagai melibatkan diri dengan perbuatan haram yang terang-terangan.

Penjual di kedai-kedai akan mengawal jualan atau menutup ruangan menjual rokok di premis-premis mereka.

Guru-guru, pensyarah dan ustaz akan lebih mudah mengkategorikannya dan secara jelas mengubah persepsi masyarakat betapa salahnya merokok kerana kemudaratannya bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan lebih parah pada orang lain. Maka apakah lagi halangannya, wartakan sahaja.

Atau adakah kita masih mahu berhati-hati dan tidak mahu dilihat ekstrem agama kerana menggunakan halal dan haram bagi mengubah tabiat manusia?

Isu yang memudaratkan orang ramai ini sebenarnya bukan isu agama semata-mata. Apa kata tambahkan lagi kawasan larangan merokok daripada senarai sedia ada kepada seluruh tempat yang ada dalam lingkungan peta Malaysia.

Dr. Irfan Mohamad
Pensyarah Kanan Perubatan ORL
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia

Petikan Utusan Online 3/11/09

No comments: