Kerajaan negeri akan menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau kewujudan laman web dan blog yang menabur fitnah untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memantau, menafi dan memperbetulkan fakta terhadap tuduhan liar dan pembohongan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
''Sudah tiba masanya kita menjawab segala isu dan memberi penerangan terhadap orang ramai atas segala pembohongan, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan.
''Meskipun ia tidak benar, kalau pembohongan ini dilakukan sampai sepuluh kali, lama kelamaan ia akan menjadi kenyataan sehingga membuatkan orang ramai terpedaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di pekarangan Wisma Negeri di sini hari ini.
Menurutnya, penubuhan pasukan itu juga sedikit sebanyak disebabkan golongan muda masa kini lebih gemar berinteraksi dengan alam siber berbanding mendapatkan bahan daripada akhbar, radio atau televisyen.
''Kalau kita jawab menerusi media cetak dan elektronik, tidak semua orang baca akhbar, dengar radio mahupun menonton televisyen terutamanya generasi muda yang kini lebih gemar mendapatkan bahan dari alam siber.
''Sebagai contoh isu air apabila ada pihak yang mendakwa kerajaan negeri menswastakan Jabatan Bekalan Air (JBA) tetapi sebenarnya kita hanya memperbadankan agensi itu," jelasnya.
Mengulas tindakan yang akan diambil sekiranya ada pihak yang terus menabur fitnah menerusi laman web, Mohamad memberitahu, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
No comments:
Post a Comment