Kami bawa anda mendekati, mendalami dan menghayati isu-isu dan fakta terkini.
PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG
20091102
Sarawak: Premis jual filem lucah
VCD, DVD dipamer secara terbuka untuk lariskan jualan
"Blue bang, murah RM10 satu. Boleh pilih." Itulah ayat cari makan peniaga di premis yang menjual cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) di bandar raya Miri untuk melariskan jualan bahan hiburan itu tanpa berselindung.
Kunjungilah mana-mana kedai menjual VCD atau DVD di bandar raya ini kebanyakannya turut menjual bahan lucah itu termasuk VCD dan DVD cetak rompak secara berselindung atau terbuka.
Kebiasaannya, bahan lucah itu diletakkan dalam kotak berasingan berhampiran kaunter pembayaran, kemungkinan untuk memudahkan mereka menyorokkan bahan itu jika diserbu pihak berkuasa.
Setiap kali pengunjung memasuki premis mereka, pekerja lelaki di premis akan mendekati pelanggan mereka, sekali gus menawarkan bahan lucah berkenaan tanpa rasa segan silu.
DVD dan VCD lucah cetak rompak menunjukkan beberapa gambar bogel untuk menarik minat pembeli.
Mereka juga sedia memberikan maklumat terbaru mengenai bahan lucah yang laris di pasaran.
Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakan pekerja premis berkenaan semakin berani, tanpa segan silu menawarkan cakera itu kepada semua pembeli temasuk wanita yang mengunjungi premis mereka.
Pemilik premis seolah-olah sudah tidak takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, walaupun menyedari perbuatan itu salah.
Difahamkan pemilik premis berkenaan memperoleh bahan lucah secara terus dari internet dengan membuat pembayaran menggunakan kad kredit sebelum mencetak semula bahan berkenaan untuk dijual di premis mereka.
Mereka tidak lagi mendapatkan bahan lucah secara terus dari tempat lain seperti dilakukan sebelum ini.
Penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, penjualan bahan lucah di premis VCD dan DVD semakin berleluasa di bandar raya Miri dan juga bandar kecil di utara negeri ini.
"Masuk saja premis VCD atau DVD, pasti ada pekerja di situ yang menawarkan VCD atau DVD lucah. Tak perlu nak tanya," katanya sambil menambah bahan lucah itu dijual antara RM10 hingga RM20 sekeping.
Suri rumah, Suri Jurus, 43, berkata kemunculan bahan lucah di negeri ini semakin ketara.
“Bukan saja di kedai VCD atau DVD, malah menerusi internet, telefon bimbit perkara yang sama juga berlaku.
“Semua ini, memerlukan pemantauan rapi dan kesungguhan pihak berkuasa tempatan untuk menanganinya,” kata beliau.
Beliau berkata, sekarang penjualan VCD atau DVD cetak rompak juga semakin berleluasa berbanding sebelum ini.
Jurucakap Persatuan Pengguna Miri berkata, satu usaha bersepadu perlu dilakukan untuk mengatasi penularan bahan lucah yang menjadi satu ancaman sosial di kalangan rakyat negara ini.
"Sekarang bahan lucah bukan saja boleh dibeli di premis menjual bahan hiburan berkenaan malah ada pakej menerusi telefon bimbit menawarkan bahan lucah serupa," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment