PM yakin Malaysia dapat atasi kesan kemelesetan di Amerika
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Malaysia dapat menangani kesan kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku di Amerika Syarikat (AS) kerana negara mempunyai asas ekonomi yang kukuh.
Perdana Menteri berkata, perdagangan negara juga tidak terlalu bergantung kepada kuasa utama ekonomi dunia itu. Beliau berkata, dasar kerajaan yang mempelbagaikan pasaran eksport dengan menyaksikan Asean kini muncul sebagai pasaran utama Malaysia, dijangka membantu mengurangkan kesan kemelesetan di AS.
Selain itu, katanya, Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang kuat dengan China, Jepun dan Korea Selatan. Abdullah berkata, pada masa sama negara juga mempunyai hubungan ekonomi dengan pasaran baru muncul, India yang kini semakin pesat berkembang.
"Kemelesetan ekonomi di AS dijangka tidak memberi kesan besar kepada Malaysia kerana asas ekonomi kita kuat. Memang betul pada satu masa kita banyak bergantung kepada AS, tapi sekarang dengan adanya dasar kepelbagaian kita, Malaysia masih boleh mengeksport barangan ke negara lain.
"Jadi, kita tidak sangat bergantung kepada pasaran AS... pasaran kita di Asean lagi besar kerana nilai perdagangan kita dengan Asean lebih besar daripada AS.
"Kita juga mempunyai hubungan ekonomi yang kuat dengan China, selain hubung kuat dengan Jepun dan Korea Selatan yang masih kekal. Begitu juga dengan ekonomi baru muncul India. "Kita dah mula kembangkan perdagangan kita dengan negara itu," katanya kepada wartawan
Malaysia yang membuat liputan mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF 2008) di sini, semalam. Abdullah berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan Malaysia, jika berlaku kemelesetan ekonomi di AS. Isu kemelesetan ekonomi AS membayangi sebahagian besar sesi persidangan WEF 2008 yang berlangsung di bandar peranginan di sini.
Perdana Menteri berkata, ekonomi Malaysia menunjukkan petanda yang semakin kukuh dengan perdagangan terus meningkat, yang kini bernilai lebih RM1 trilion, manakala rizab antarabangsa melebihi AS$101 bilion (RM323.2 bilion). Katanya, 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada hari ini pula disumbangkan oleh ekonomi domestik.
"Ini satu perkembangan baru bagi ekonomi negara, selain memiliki sektor perkhidmatan yang kukuh. "Mata wang kita juga terus stabil manakala pasaran saham kita semakin berkembang yang mana kini mempunyai permodalan pasaran bernilai lebih RM1 trilion. Inilah antara kekuatan yang ada dalam negara kita. Jadi, ekonomi kita kuat, berpunca daripada dasar kita ambil yang memandang jauh ke hadapan.
"Kalau berlaku kemelesetan ekonomi di AS, kita boleh menghadapinya, tapi kita memerlukan kekuatan dan kesungguhan kerajaan dalam hal ini. Saya yakin kerajaan kita boleh menghadapinya dan dapat membuat apa-apa anjakan yang diperlukan supaya kesannya tidak begitu menjejaskan sangat ekonomi kita," katanya.
Ditanya langkah baru untuk mengukuhkan ekonomi Malaysia, Perdana Menteri berkata, pendekatan yang diambil pada masa ini ternyata membawa kesan yang lebih baik daripada sebelumnya. "
Justeru, kerajaan akan teruskan dasar sedia ada yang terbukti berkesan. Jika perlu apa-apa tindakan, kita tengok bagaimanakah situasi pada masa itu, waktu berlakunya kemelesetan," katanya.
No comments:
Post a Comment