SPR gugur pemilih meninggal, hilang kelayakan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggugurkan kira-kira 500,000 nama daripada senarai daftar pemilih berakhir September lalu yang akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata nama pengundi yang dikeluarkan daripada senarai itu adalah mereka yang disahkan meninggal dunia atau hilang kelayakan sama ada menerusi maklumat diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau semakan suruhanjaya itu sendiri.
Berikutan itu, katanya, seramai 10.83 juta pengundi tinggal dalam senarai berkenaan yang sudah diwartakan dan boleh digunakan pada bila-bila masa jika pilihan raya umum ke-12 diadakan dalam tempoh terdekat.
SPR mewartakan senarai daftar pemilih itu pada 29 November lalu. "Bagaimanapun, hakikatnya masih ada nama yang sudah meninggal dunia kekal dalam daftar pemilih itu kerana kita tidak menerima maklumat rasmi mengenai kematian daripada JPN," katanya. Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pengurus Pilihan Raya di sini, semalam.
Bagaimanapun, Abdul Rashid memberi jaminan tiada sesiapa yang boleh menyamar untuk mengundi bagi pihak mereka yang sudah meninggal dunia.
"Jika ada mendakwa berlaku penyamaran, mereka kena buktikan.
Jika tidak, kita anggap tidak adalah," katanya. Beliau juga berkata, SPR masih dalam proses untuk mewartakan senarai daftar tambahan membabitkan mereka yang didaftar sepanjang suku terakhir tahun lalu.
"Ada kira-kira 17,000 nama dalam daftar pemilih bagi suku keempat tahun lalu yang dibantah secara besar-besaran oleh sebuah parti pembangkang, kebanyakannya di Kedah, Kelantan dan Selangor.
"Mereka yang tidak dibantah mungkin sempat mengundi pada pilihan raya ini," katanya. Mengenai rasuah politik menjelang pilihan raya ini, Abdul Rashid berkata, ia adalah di bawah bidang kuasa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis.
Ditanya persediaan SPR untuk mengendalikan pilihan raya, Abdul Rashid berkata: "Kita bersedia bila-bila masa sekarang". Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk mengehadkan jumlah poster calon belum dimuktamadkan.
"Kita cadang untuk hadkan poster bagi mengelakkan perang poster yang kadang-kadang dilihat mengarut," katanya.
No comments:
Post a Comment