PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080109

CCTV di tempat awam -- Antara tiga langkah utama banteras jenayah

Tiga langkah penting membanteras dan mencegah jenayah ialah pemantapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan awam dan premis yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Perdana Menteri berkata, langkah kedua ialah menyambung perkhidmatan secara kontrak pegawai dan anggota polis yang bakal dan telah bersara di samping penempatan kakitangan awam mengisi jawatan tertentu dalam PDRM yang sebelum ini dijalankan anggota polis seperti tugas-tugas perkeranian.

Jelas beliau, penyambungan perkhidmatan dan penempatan kakitangan awam itu selaras keputusan kerajaan sebelum ini untuk mengambil tambahan 60,000 pegawai dan anggota sehingga tahun 2011.

Tambahnya, langkah ketiga pula ialah menyegerakan penambahan balai polis di bandar-bandar baru termasuk menyewa bangunan kedai untuk tujuan itu bagi mengelak tempoh masa lama membina balai baru.
“Semua langkah ini perlu dilaksanakan dengan segera dan arahan saya ialah ia perlu dilaksanakan mulai esok.

“Langkah ini bagi memastikan rakyat tidak lagi berasa takut untuk melakukan urusan harian seperti keluar membeli barang atau menghantar ahli keluarga yang sakit ke hospital pada waktu malam.

“Ketiga-tiga pendekatan ini dilakukan sebagai tindakan lebih drastik untuk menjamin keselamatan dan mengurangkan perasaan bimbang rakyat,” katanya.

Menurutnya, selepas polis mengenal pasti lokasi premis dan kawasan strategik untuk pemasangan CCTV di sesebuah bandar, pemasangannya adalah wajib dengan kos ditanggung pemilik bangunan atau peruntukan PDRM jika melibatkan kawasan awam.

“Kita telah putuskan hari ini bahawa urusan dan arahan pemasangan CCTV di bangunan serta tempat-tempat awam perlu dilaksanakan PDRM kerana pasukan itu lebih mengetahui di mana lokasi yang banyak berlaku jenayah atau berisiko.

“Saya sendiri akan membawa perkara ini ke Kabinet esok untuk melaksanakan peraturan tersebut bagi menggantikan peraturan yang dibuat pada tahun 2004,” katanya.

Beliau menegaskan, jika pemilik bangunan gagal memasang CCTV selepas diarahkan oleh polis, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari arahan yang bertujuan menjaga keselamatan orang ramai yang berada di premis tersebut.

“Ini akan membolehkan pihak polis mengambil tindakan segera apabila berlaku sesuatu jenayah ataupun dapat menghalang berlaku jenayah yang ingin dilakukan oleh seseorang,” katanya.

Mengenai langkah kedua iaitu menyambung perkhidmatan secara kontrak dan mengambil semula pesara polis, Perdana Menteri memberitahu, pendekatan itu dilaksanakan kerana usaha menambah anggota polis berjalan perlahan berikutan terdapat prosedur yang perlu dilaksanakan.

Katanya, jumlah pusat latihan polis juga terhad menyebabkan usaha mengambil dan melatih anggota polis baru agak perlahan serta pembinaan pusat latihan baru di Langkawi, Kedah dan Bentong, Pahang pula mengambil masa satu hingga dua tahun.

Kekal

Abdullah memberitahu, anggota-anggota yang perlu dikekalkan ialah anggota yang terlibat dalam rondaan, trafik dan siasatan.

“Anggota-anggota tersebut akan diberi kontrak perkhidmatan selama setahun dengan gaji serta kemudahan-kemudahan yang sama semasa perkhidmatan terakhir mereka.

“Polis juga dibenarkan untuk mengambil kakitangan awam bagi menjalankan tugas-tugas yang tidak membabitkan tugas kepolisan seperti perkeranian, sumber manusia dan perhubungan awam,” katanya.

Langkah ketiga pula, jelas Perdana Menteri, bertujuan memastikan kehadiran polis di kawasan-kawasan bandar atau kawasan perumahan baru walaupun terpaksa menyewa lot-lot kedai untuk dijadikan balai.
“Menjadikan lot-lot kedai sebagai balai polis adalah pendekatan yang baik dalam usaha membasmi jenayah di samping memberi kelegaan kepada orang ramai.

“Tumpuan utama pembinaan balai polis ini ialah kawasan yang menunjukkan perangkaan jenayah tinggi iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Musa dalam sidang akhbar itu menjelaskan, antara tempat yang akan dicadangkan polis untuk pemasangan CCTV ialah lokasi tumpuan pelancong dan orang ramai serta tempat meletak kenderaan di kompleks beli-belah.

No comments: