Walaupun tidak diiktiraf sebagai satu pekerjaan, terdapat 500-600 pengutip sampah di seluruh negeri dengan purata hasil sehingga RM2,000 semingguTimbunan bahan buangan di tapak pelupusan sampah yang menjijikkan bagi orang lain tetapi ia dianggap sebagai ‘emas’ bagi pengutip sampah.
Sampah berbentuk botol kaca atau plastik dan barang diperbuat dari besi merupakan sumber pendapatan kepada mereka yang sering dipandang serong oleh masyarakat.
Memang kerja demikian terdedah kepada kotoran dan boleh mengundang penyakit, tetapi realitinya pendapatan mereka mampu mencecah RM2,000 seminggu.
Seorang pengutip sampah yang ditemui media di tapak pelupusan sampah Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Bau di Jalan Jambusan, dekat sini, ada falsafah sendiri berkaitan kerjayanya.
“Lebih mulia jadi pengutip sampah daripada menjadi sampah masyarakat,” kata Mastapha Ali, 44, sambil jari-jemarinya mengais timbunan sampah-sarap yang selama ini menjadi sumber rezeki bagi-nya untuk menyara keluarga.
Benar katanya, tidak semua orang sanggup bergelumang dengan sampah-sarap dalam keadaan kotor, berulat, berbau dan dihurungi jutaan lalat demi untuk mencari rezeki seperti yang telah dilalui oleh bapa kepada enam orang anak itu.
Bagaimanapun katanya, di dalam timbunan sampah itulah sebenarnya tersembunyi ‘lombong emas’ yang tidak nampak pada pandangan mata kebanyakan orang.
“Kerja ini memang kotor tetapi hakikatnya kami mampu menjual semula barang buangan seperti tin, plastik, botol, kertas dan guni sehingga RM80 sehari, manakala tembaga dan besi yang dikumpul dan dijual setiap minggu kepada pemborong mencecah sehingga RM2,000.
“Kerana itu, saya sanggup berhenti kerja makan gaji RM1,300 sebulan sebagai pemandu pelancong sejak dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Bau di Jalan Jambusan, Bau dekat sini.
Mastapa yang duduk be rehat atas kayu berlapikkan kotak selepas menikmati makan tengah hari, pada mulanya keberatan untuk ber-kongsi pengalaman kerja sebagai pengutip sampah tetapi kemudian terpaksa akur de-ngan permintaan penulis selepas dipujuk.
“Tiada yang menarik tentang pekerjaan ini, malah saya sendiri pernah disindir masyarakat termasuk saudara-mara kerana sanggup meninggalkan kerja lama yang lebih selesa, duduk dalam kenderaan berhawa dingin dan bergaji bulan,” katanya sambil tangan melibas ke kiri ke kanan menghalau lalat yang hinggap di mukanya.
Beliau berkata, sebagai pengutip sampah dia tidak perlu mengeluarkan modal kerana yang paling penting ialah kerajinan seseorang itu untuk menyelongkar setiap timbunan sampah yang dibawa oleh lori.
Penulis tersenyum sendiri apabila sampah yang dikumpul juga mempunyai gelaran tersendiri termasuk tin susu yang digelar sebagai ‘keropok’ boleh dijual pada harga RM0.70 sen sekilogram, botol plastik (RM0.30 sen), besi (RM1), tin aluminium (RM4.80) dan tembaga (RM16).
Ditanya cabaran yang dihadapinya, Mastapha memberitahu selain terpaksa ‘berkongsi’ kawasan dengan jutaan lalat, mereka juga terpaksa berhati-hati dengan kaca dan benda tajam yang dibuang bersama timbunan sampah lain ketika menyelongkar.
“Kami juga pernah menemui barangan emas yang mungkin dibuang secara tidak sengaja oleh tuan punya di kawasan pelupusan sampah ini, malah beberapa tahun lalu pernah seorang tauke datang ke sini mencari wang tunainya berjumlah RM5,000 yang dibuang secara tidak sengaja… sehingga kini wang itu masih belum ditemui,” katanya lagi.
Mastapha memulakan rutin hariannya menyelongkar tapak pelupusan sampah bermula seawal jam 7 pagi sehingga 7 malam.
Kerja mengumpul bahan buangan di tapak pelupusan sampah bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan tetapi juga warga Indonesia.
Demi sesuap nasi, dua bersaudara dari Bangkawang, Kalimantan Barat, Indonesia sanggup datang ke negeri ini semata-mata melakukan kerja yang dipinggirkan oleh masyarakat tempatan.
Achik, 30, berkata, dia tidak mengira apa jenis kerja asalkan ia sumber rezeki yang halal untuk menyara isteri dan keluarganya yang ditinggalkan di kampung halaman.
“Kerja ini memang sukar… korek sana, korek sini tapi hasilnya lumayan,” katanya sambil memasukkan botol plastik ke dalam guni di tengah-tengah ‘lautan’ sampah-sarap.
Dia yang baru seminggu bekerja sebagai pengutip sampah memberitahu, hasil pendapatan yang diperolehi dengan menjual barangan yang boleh dikitar semula itu, jauh lebih lumayan berbanding upah bekerja di negara asalnya.
Waktu paling ‘sibuk’ baginya ialah apabila lori-lori sampah tiba di pusat pelupusan itu kerana mereka perlu cepat menyelongkar dan mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula sebelum ia ditolak jentera untuk ditimbus.
Saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai Alek, 17, pula berkata, hari-hari pertama ketika dia memulakan tugas sangat sukar baginya.
“Mana bisa menjamah makanan dalam keadaan kawasan yang kotor, berbau dan dihurungi lalat, tetapi sejak seminggu ini kami dapat membiasakan diri dengan keadaan di sini,” tambahnya.
Meskipun kerja itu memberikan pendapatan kepada mereka yang terbabit, bagaimanapun Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam mengklasifikasikan mereka sebagai ‘
golongan menimbulkan masalah’ di tapak pelupusan.
Menteri Muda Alam Sekitar Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen baru-baru ini mendedahkan terdapat antara 500 dan 600 pengutip sampah di negeri ini.
Rauf berkata: “Mereka ini menjadi satu masalah dari segi kesihatan dan keselamatan dan juga penyebab pembakaran terbuka di tapak-tapak pelupusan sampah.
“Pengutip sampah menyebabkan pembakaran terbuka secara tidak sengaja kerana mereka memasak makanan di situ dan akibat aktiviti menggali dan mencari bahan terbuang ia menambahkan kekotoran di kawasan berkenaan”.
Bagi mengekang kejadian seperti itu berleluasa, kementerian akan mengeluarkan arahan kepada semua PBT agar melatih dan mendidik pengutip sampah supaya tidak mengotorkan tempat berkenaan.
Menurut Rauf, di tapak pelupusan sampah Sibuti, Miri, kontraktor yang diamanahkan menguruskan tempat berkenaan, mendidik pengutip sampah agar tidak mengotorkan tempat berkenaan.
Malah, kontraktor berkenaan membeli barang-barang terpakai dari pemungut sampah.
Jelas beliau, itu adalah untuk memastikan hubungan baik antara kontraktor dan pengutip sampah terjalin, lantas wujud rasa hormat antara dua pihak.
Kerana hormat kepada kontraktor, para pengutip sampah tidak sewenang-wenangnya mengotorkan kawasan berkenaan.
“Kalau PBT yang menguruskan tapak pelupusan sampah lain berbuat demikian sudah pasti pengutip sampah tidak mengotorkan tempat berkenaan,” katanya.