PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20080618

Projek basmi kemiskinan tegar tidak terjejas

Kerajaan tetap utama pembangunan luar bandar selagi diperlukan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek membasmi kemiskinan yang sudah dirancang khususnya di luar bandar tidak akan terjejas dalam pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), akhir bulan ini.

Perdana Menteri berkata, walaupun kajian itu membabitkan penilaian semula terhadap pelbagai projek besar kerajaan, ia tidak akan membabitkan usaha membasmi kemiskinan kerana kerajaan tetap mensasarkan matlamat menghapuskan kemiskinan tegar dalam tempoh dua tahun lagi. "Saya beri jaminan projek seperti itu di luar bandar tidak akan terganggu kerana kita ingin menghapuskan kemiskinan tegar pada 2010 dan kemiskinan secara relatif. Kita akan kaji projek besar dan jika kita lihat ia boleh ditangguhkan buat masa ini, kita tangguhkan.

"Keduanya, kita lihat sama ada ia adalah projek yang sangat diperlukan. Jika keperluannya tidak begitu mendesak, kita tunggu dulu," katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa (ICC) 2008 di Sutera Harbour Resort, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan dua timbalannya, Datuk Joseph Pairin Kitingan serta Datuk Raymond Tan. Bagaimanapun, Abdullah menegaskan, projek yang sudah bermula diteruskan bagi mengelak kerugian.

Ditanya sama ada penangguhan projek berkenaan membabitkan Sabah dan Sarawak, beliau berkata, butirannya akan diketahui kelak. Mengulas 100 hari pentadbirannya sebagai Perdana Menteri buat penggal kedua semalam, Abdullah terkejut kerana tidak menyedarinya.

"Sudah 100 hari? Anda pasti saya sudah 100 hari menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua? Anda nilaikanlah sendiri, tetapi saya masih bekerja keras untuk semua.

"Pentadbiran terus rancak dan masih banyak perlu dilaksanakan. Ada lagi perkara dalam Manifesto 2004 yang perlu dilaksanakan dan agenda dalam Manifesto 2008 pun perlu diberi perhatian.

"Usaha berkenaan perlu ditingkatkan dan saya faham ketika ini kita menghadapi paling mencabar, iaitu kenaikan harga minyak yang turut berjangkit kepada harga barang," katanya.

Mengulangi kenyataan tindakan menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini bukan bertujuan menyusahkan rakyat, Perdana Menteri berkata, setiap langkah diambil mempunyai rasional sendiri dan beliau sedia menerima idea rakyat ke arah memantapkan usaha meringankan beban setiap lapisan masyarakat. Malah, katanya, beliau meneliti setiap cadangan dan pandangan dihantar rakyat secara bertulis sambil menyifatkannya sebagai sokongan positif untuk memperbaiki keadaan.

"Kerajaan memberi perhatian berdasarkan keutamaan, tetapi pada masa sama, projek pembangunan perlu terus dilaksanakan dan kita tidak boleh hentikan.

"Kewangan kita terhad dan kita mesti tetapkan berapa banyak perlu dibelanjakan untuk menangani hal berkaitan kenaikan harga minyak. Kita tidak boleh gunakan 100 peratus wang hasil minyak untuk subsidi hingga tak cukup untuk pembangunan.

"Kerajaan tetap mengambil perhatian masalah berkaitan harga minyak dan subsidi, maka kita perlu fikirkan masak-masak mengenai pengagihan. Harga minyak akan turun kalau kita beri subsidi terlalu banyak tetapi apa pula halnya dengan projek lain.

"Insya-Allah, kita akan dapat atasi masalah ini," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai kewajaran kenaikan gaji 100 peratus Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohd Noh, seperti dilaporkan, Perdana Menteri menjawab: "Mereka lebih tahu sama ada ia wajar atau tidak.

" Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan tindakan Lembaga Pengarah TNB, menaikkan 100 peratus gaji Che Khalib, yang disifatkannya sebagai tidak wajar dilakukan syarikat itu, terutama ketika semua pihak disaran berjimat-cermat. Bagaimanapun, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Tan Sri Azman Mokhtar, ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, kenaikan gaji Che Khalib adalah sesuatu yang wajar kerana ia berdasarkan kepada prestasinya. Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TNB memang mempunyai pakej imbuhan serta ganjaran yang bersandarkan prestasi dan kenaikan gaji Che Khalib itu diberikan kerana beliau berjaya menambah nilai dalam syarikat terbabit.

No comments: