Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) hari ini mengumumkan penurunan harga beras wangi dan beras pulut kepada pemborong mulai Sabtu ini.
Pengarah Urusan Bernas, Bakry Hamzah, berkata harga beras wangi itu akan diturunkan lebih kurang 15 peratus manakala beras pulut diturunkan 12 peratus.
"Kita sudah membeli bekalan berkenaan dengan harga diskaun sejak akhir ini dari Thailand dan tiba masanya kita mahu memberi harga yang murah kepada pengguna,” katanya semasa menjadi panel forum bertajuk “Kemelut Kenaikan Harga Makanan-Apa Kesudahannya” yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.
Harga beras wangi gred AAA yang sebelum ini berharga RM4,700 setan metrik akan diturunkan kepada RM4,000, iaitu penurunan 14.89 peratus.
Beliau berkata, penurunan yang dibuat itu sejajar dengan penurunan harga beras di Thai dan menjangka harga beras akan terus turun. "Kami akan membuat penyelarasan dari semasa ke semasa dan secara amnya harga beras dunia sudah menurun daripada RM3,908 setan matrik kepada RM2,606,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan corak ini harga pasaran beras akan terus menurun dan Bernas menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan harga baru beras.
Katanya, harga beras itu akan turun tetapi dijangka tidak akan kurang daripada RM1,954 setan metrik. Beliau berkata selepas Bernas diswastakan pada 1996, Bernas membuat keuntungan dengan mengikut harga pasaran beras di peringkat dunia.
"Kita membeli beras pada masa tertentu yang sesuai iaitu apabila harganya munasabah. Bernas memberi jaminan bahawa kami akan sentiasa peka dengan pasaran harga beras semasa,” katanya.
Forum hari ini dipengerusikan Pengarah INTAN Dr Muhamad Hamzah dan merupakan salah satu slot dalam satu seminar krisis makanan yang dianjurkan INTAN selama sehari.
- Bernama
No comments:
Post a Comment