Surat 1
RAMAI pembaca telah meluahkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan, pemimpin dan pihak berkuasa kerana tidak peka isu kebanjiran pendatang asing dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia sejak dua minggu lalu.
Saya berpendapat semua orang tahu punca kebanjiran pendatang asing khususnya yang masuk secara haram dan tinggal lebih masa. Semua orang tahu ada pihak yang tidak bertanggungjawab buat duit ‘menjual orang’. Bagi mereka yang dapat keuntungan, keselamatan negara dan masa depan anak cucunya tidak penting. Yang penting ialah kemewahan pada dirinya kerana dia berpegang pada prinsip “orang lain pun buat.’’
Tidak dinafikan dalam isu pendatang haram mereka datang kerana ‘dari kebuluran di negara sendiri baik mati dalam tahanan di Malaysia’. Mereka telah dengar cerita mengenai sikap sederhana dan lembut kerajaan Malaysia.
Pendatang haram tidak akan diseksa malahan dalam tahanan hak asasi mereka dijaga. Jika ada rakyat Malaysia termasuk pihak berkuasa mengasari mereka kerajaan Malaysia akan membela mereka.
Malah mereka boleh dapat pampasan walaupun masuk secara haram dan tiada dokumen yang sah. Hak asasi mesti dipertahankan. Bagi pekerja asing yang dianiaya oleh ejen mereka juga akan dilayan dengan baik. Dan kalau hendak balik ke negara asal, kerajaan akan membayar tambang mereka.
Selain itu, tiada tindakan diambil terhadap ejen sekadar diberi teguran dan mungkin disenaraihitamkan. Lagipun ejen bukan sebarang orang untuk diambil tindakan begitu saja.
Setelah 50 tahun kita merdeka, rakyat mula tanya - apa erti kemerdekaan kalau pendatang haram pun kita gagal tangani dengan berkesan? Kementerian Pelancongan buka pintu seluas-luasnya kepada pelancong asing dan jangan tanya soalan. Kalau kita tengok pakaian mereka yang masuk dari negara jiran kita sudah tahu tujuannya ialah ‘melencong’ dan bukan melancong.
Dulu kilang-kilang adalah punca pekerjaan untuk remaja dan gadis kampung. Pada hari ini, seolah-olah kilang dikhaskan untuk pekerja asing dan pendatang haram. Bukan sahaja kerja diberikan tetapi tempat tinggal pun disediakan.
Dulu tapak perniagaan dikhaskan untuk rakyat tempatan, sekarang pendatang haram, pelancong bermusim dan penduduk tetap menguasai semua tapak perniagaan.
Mereka bukan saja menikmati kemudahan sekolah, kesihatan dan sebagainya, malahan mereka menuntut dengan kasar dan merasakan layak mendapat layanan yang baik.
Kita sudah sampai pada keadaan ‘kera di hutan disusukan manakala anak kandungan mati kebuluran’. Pemimpin tahu, tetapi buat tidak tahu. Mereka akan ambil tahu bila keluarga mereka diperlakukan dengan buruk oleh pendatang haram. Janganlah bila ‘nasi sudah jadi bubur’ barulah hendak ambil tindakan.
Surat 2
SAYA rasa pihak kerajaan telah gagal mewujudkan suatu rancangan yang kemas dan munasabah untuk mengatasi kebanjiran masuk pekerja asing ke negara ini. Kenyataan Setiausaha Agung MTUC baru-baru ini bahawa 1,600 orang pekerja asing masuk ke negara ini setiap hari bukan sesuatu yang mengejutkan.
Bermakna sekitar 48,000 orang sebulan dan kira-kira 3.8 juta orang setahun pekerja asing masuk ke negara ini. Apakah ini logik atau tidak, soalnya sememangnya pembangunan negara ini dipacu sebegitu rupa sehingga kita sangat bergantung kepada tenaga buruh luar.
Perkembangan sektor perladangan, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan serta dasar kerajaan yang sangat liberal dari segi pasaran buruh telah menyebabkan majikan memberi pilihan utama kepada pekerja asing.
Pihak majikan swasta sudah tentu akan mengikut logik ekonomi yang jelas iaitu apa sahaja yang akan mengurangkan kos akan diberi keutamaan. Soal kepentingan dan implikasi kepada sosio ekonomi, keselamatan dan budaya masyarakat tempatan tidak akan menjadi faktor penting bagi kebanyakan majikan.
Bagi saya puncanya ialah kerana keghairahan yang berlebihan untuk menjadikan negara ini sebagai syurga pelaburan yang akhirnya kita menerima akibat kebanjiran buruh luar ini. Kerajaan telah gagal melihat implikasi dari model pembangunan yang sedang diterajui sekarang sehingga yang tersisih ialah tenaga tempatan sendiri.
Dasar liberal untuk menjadi pesaing yang kompetitif dengan negara lain telah menyebabkan kita terpaksa membenarkan tenaga luar diambil dengan tidak perlu disyaratkan kepada majikan untuk memberi keutamaan kepada tenaga tempatan.
Sebab itu saya tidak terkejut terhadap kenyataan ahli Suhakam, Siva Subramania kelmarin bahawa dua juta wanita tempatan telah ternafi mendapat pekerjaan di negara ini kerana majikan swasta lebih memilih pekerja asing kerana kos yang lebih murah untuk sektor perkhidmatan.
Kami melihat ini adalah berpunca daripada salah dasar di peringkat kerajaan. Kini kita telah terperangkap dalam sebuah sistem dan corak pembangunan yang telah merubah seluruh pergantungan kita dari tenaga tempatan kepada tenaga luar.
Pihak majikan nampaknya lebih mudah mendapatkan pekerja asing berbanding pekerja tempatan akibat dari sikap sebahagian rakyat kita juga yang kian cenderung kepada pekerjaan 3D (dirty, difficult dan dangerous) iaitu susah, kotor dan bahaya. Akibat dari model pembangunan yang dipilih sendiri oleh kerajaan, majikan tidak mempunyai pilihan yang munasabah dari segi ekonomi selain mengutamakan pekerja asing. Dalam hal ini, TERAS tidak melihat fungsi Kementerian Sumber Manusia yang berkesan.
Sepatutnya kementerian berkenaan dapat membuat unjuran yang terancang supaya tren pengambilan tenaga asing ini sepatutnya dibendung daripada awal.
Kementerian lain yang ghairah dengan pembangunan seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sepatutnya merancang dengan rapi implikasi kepada kebanjiran tenaga buruh asing ini. Dengan statistik 360,000 penganggur yang ada di negara ini kenapa pihak kerajaan tidak mengutamakan sumber tenaga rakyat sendiri atas nama persaingan global?
Surat 3
LAPORAN akhbar tentang kebanjiran pendatang tanpa izin sebenarnya bukan isu baru kepada kita kerana masalah ini sebenarnya sudah berulang kali dibicarakan. Tetapi ia seakan-akan angin, terus berlalu begitu sahaja tanpa ada pendekatan yang serius untuk menanganinya dan hasilnya negara kita terus menjadi tempat lambakan golongan itu.
Saya sebagai anak Malaysia berbangga dengan sambutan kemerdekaan negara ke- 50 dan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia. Namun kebanggaan ini seakan-akan pudar dek kerana keadaan dalaman negara yang banyak dimonopoli oleh orang asing.
Sewaktu menunggu anak yang dimasukkan ke hospital, saya mendapati kebanyakan pekerja pencuci hospital adalah warga asing. Begitu juga sewaktu hendak mengisi petrol, stesen-stesen minyak kita dimonopoli orang asing, sewaktu hendak masuk di restoran-restoran, saya mendengar suara “mampir pak.. mampir ibu” rasa-rasanya seperti berada di Jakarta. Itu belum tahu lagi tukang masaknya. Saya yang melawat adik yang bekerja di sebuah kilang di Senai mendapati majoriti pekerjanya adalah warga Indonesia.
Saya difahamkan bahawa di kilang itu 90 peratus pekerja adalah warga Indonesia dan ramai juga yang sudah berkahwin dengan orang tempatan.
Mereka ini memang bercadang untuk menetap terus di Malaysia kerana faktor mudah mendapat peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Bilangan mereka yang ramai menyebabkan mereka tidak merasa seperti berada di negara asing sebaliknya kita pula yang merasa asing di negara sendiri. Aneh bukan? Itulah negaraku... Malaysia. Saya merayu kepada kerajaan agar melihat isu ini sebagai perkara yang serius sebelum ia menjadi ‘duri dalam daging’.
Kemasukan pendatang seharusnya dikawal ketat supaya majikan tidak terus mengambil pendatang semata-mata kerana mereka boleh diberi upah yang lebih murah berbanding orang tempatan.
Fikirkan juga kebajikan warga kita dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.
Surat 4
SARANAN Persatuan Majikan-Majikan Malaysia dalam laporan khas Utusan Malaysia pada 16 Oktober lepas agar dipermodenkan sektor pembinaan dan perladangan adalah salah satu daripada langkah tepat.
Ia wajar dipertimbangkan kerana secara langsung akan menukar sektor-sektor terlibat daripada intensif buruh kepada intensif teknologi. Dalam pada itu, marilah kita memberikan fokus kepada permasalahan terkini yang sedang merenung tajam ke arah kita. Ia memerlukan pelan tindakan serta-merta iaitu sekurang-kurangnya dua juta pekerja asing tidak berdaftar, pencerobohan sempadan negara secara terang-terangan, mengurangkan kebergantungan negara untuk pekerja asing serta menarik minat rakyat tempatan untuk memenuhinya.
Segala usaha harus disalurkan untuk mengenal pasti dan merekodkan kewujudan dua juta pendatang asing tanpa izin (PATI) dan bukan sahaja soal menghantarkan mereka pulang. Walaupun pahit untuk kita menelan tetapi satu bentuk ‘pemutihan’ perlu dipertimbangkan, tetapi dengan penggunaan sistem canggih seperti biometrik.
Pemutihan kali ini sudah pastinya berbeza daripada yang pernah dilakukan oleh kerajaan pada tahun-tahun yang lalu. Untuk memastikan bahawa kaedah ini memberikan kadar respons yang tinggi, bagi PATI yang telah pun memiliki pekerjaan dibenarkan untuk terus bekerja tetapi bagi mereka yang tidak bekerja perlulah dihantar pulang. Jika tidak, mereka akan terus bersembunyi dan tidak akan menghiraukan pelawaan kerajaan tersebut.
Seiringan dengan itu, kerajaan juga perlu mengumumkan bahawa kemasukan pekerja asing perlu dihentikan serta-merta dan laksanakan satu program induk ke arah matlamat ‘pekerja asing sifar’ dalam jangka masa 10 tahun. Semua syarikat yang menggunakan perkhidmatan pekerja asing perlulah memberikan pelan sumber manusia masing-masing kepada Kementerian Sumber Manusia supaya ia sejajar dengan program induk tersebut. Tindakan keras menanti majikan-majikan yang masih meng- gajikan pekerja asing, termasuk memikul kos menghantarkan pekerja tersebut pulang.
Walaupun Malaysia mempunyai sempadan yang luas tetapi buat permulaan kita harus memperkukuhkan dahulu pintu-pintu masuk utama yang dipercayai mengalami ‘ketirisan’ yang agak kritikal, terutamanya yang melibatkan pelabuhan.
Selain itu, mungkin sudah menjadi satu ‘rahsia terbuka’ di kalangan PATI ini mengenai modus operandi membolosi sempadan negara. Kerjasama pihak berkuasa negara-negara terlibat amatlah diperlukan untuk keberkesanan maksimum berbanding dengan usaha unilateral kerajaan Malaysia sahaja.
Untuk menarik minat rakyat tempatan untuk memenuhi vakum yang ditinggalkan oleh pekerja asing ini, sektor-sektor yang terlibat perlu menjalani penjenamaan semula (rebranding) secara agresif, untuk menjadikannya lebih glamor dan bukan setakat gaji atau insentif yang lebih baik sahaja. Seperti contoh-contoh yang telah pun dilakukan, pekerja kilang dikenali sebagai operator pengeluaran, jurujual pula sebagai promoter, kerani sebagai pembantu tadbir, ahli bomba sebagai pasukan penyelamat dan lain-lain lagi nama baru yang `lebih sedap didengar’. Pengusaha-pengusaha pula perlu mengorbankan sedikit keuntungan mereka dengan menggunakan perkhidmatan rakyat tempatan, demi masa depan, keselamatan serta kedaulatan negara.
Surat 5
SAYA merupakan seorang pelajar universiti yang sedang mengikuti kursus profesional. Saya ingin melahirkan kekecewaan terhadap apa yang melanda negara kita iaitu kebanjiran pendatang asing yang semakin hari semakin biadab.
Lihat sahaja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, tasik-tasik rekreasi seperti Tasik Shah Alam, semuanya penuh dengan pendatang.
Lebih-lebih lagi mereka ini bergerak secara berkumpulan, lebih ketara kehadiran mereka. Sudahlah tidak malu dengan bersiul-siul dan membuat bising tetapi berani pula memikat anak-anak gadis tempatan yang ada di situ.
Ini menyebabkan saya rasa tidak selesa dan takut untuk berjalan-jalan di situ. Malahan, ada yang membuat vandalisme. Realitinya, flat-flat yang sedang memenuhi muka bumi Malaysia kini bukan untuk orang Malaysia tetapi dipenuhi warga asing. Kebersihan memang diabaikan seolah-olah ini adalah negara mereka.
Saya berasa seperti di negara asing pula walhal saya dibesarkan dan dilahirkan di sini. Apabila menjelang 2020 saya bimbang saya bukan lagi anak watan yang dapat kenikmatan hasil wawasan yang dibina tetapi anak warga asing dan warga pendatang tanpa izin itu sendiri yang dapat faedahnya.
Dalam pada itu pendatang-pendatang ini bukan sahaja membawa kepada masalah persekitaran dan sosial tetapi membawa penyakit seperti Tibi yang sebelum ini di tahap kawalan. Apa yang kita boleh buat? Sekadar duduk dan tengok sajakah?
Petikan – Forum Utusan Malaysia 18 Oktober 2007
No comments:
Post a Comment