PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071019

10. MISKIN SELEPAS PENCEN

Miskin selepas pencen -- Dengan purata caruman RM114,000 pesara belanja RM475 sebulan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai caruman terkumpul berjumlah RM224 bilion sehingga Disember 2006 namun secara purata simpanan seorang pencarumnya yang mencapai usia 55 tahun cuma RM114,000.
Dengan simpanan sebanyak itu, seseorang pencarum KWSP yang bersara hanya mampu membelanjakan RM475 setiap bulan bagi membolehkannya menampung hidup sehingga usia 75 tahun.
Perbelanjaan RM475 sebulan akan meletakkan pesara berkenaan dalam kategori golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan.
Pendapatan orang yang dikategorikan miskin di Semenanjung kini ditetapkan RM530 sebulan, Sarawak (RM585) dan Sabah (RM685).
Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar memberitahu, pada masa ini purata caruman terkumpul kira-kira 47,500 pencarum KWSP yang akan genap umur 55 tahun pada tahun ini ialah RM114,000.
“Jumlah simpanan ini tidak mencukupi berdasarkan anggaran mereka akan menggunakan wang itu selama 20 tahun berikutan jangka hayat yang semakin panjang serta kos sara hidup yang terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.
KWSP mempunyai kira-kira 11 juta pencarum dengan 47,500 orang akan mencapai umur bersara pada tahun ini.
Menurut Nik Affendi, bagi memastikan pencarum KWSP dapat bersara dengan selesa, setiap ahli dana pencen itu perlu mengubah sikap mereka yang berharap sepenuhnya kepada caruman KWSP untuk menampung hidup selepas bersara.
“Caruman KWSP setiap bulan hanya melibatkan 11 peratus daripada gaji mereka, jadi masih terdapat 89 peratus pendapatan pencarum yang boleh digunakan untuk membuat pelaburan yang akan menghasilkan pulangan tetap pada usia tua,” ujarnya.
Nik Affendi menasihatkan para pencarum supaya berhemah ketika membuat pengeluaran awal sebelum persaraan membabitkan pelbagai skim yang telah disediakan oleh KWSP termasuk pengeluaran rumah, pendidikan dan kesihatan.
“Jika mereka mempunyai sumber lain, simpanan KWSP harus dijadikan sebagai pilihan terakhir,” tegasnya.
Ditanya mengenai langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan simpanan persaraan setiap ahli bertambah, katanya, struktur akaun ahli KWSP telah disusun semula daripada tiga akaun kepada dua mulai 2 Januari lalu.
Sebelum ini, sebanyak 60 peratus daripada caruman bulanan ahli dikreditkan ke dalam Akaun I manakala 30 peratus ke dalam Akaun II dan 10 peratus ke dalam Akaun III.
Penstrukturan itu menyebabkan Akaun I – yang khusus untuk tujuan persaraan dan hanya boleh dikeluarkan setelah pencarum mencapai usia 55 tahun – ditingkatkan sebanyak 10 peratus kepada 70 peratus.
Selaras dengan perubahan itu, ujar Nik Affendi, pengeluaran kesihatan yang sebelum ini hanya boleh dibuat daripada Akaun III kini boleh dikeluarkan daripada Akaun II.
Wang dalam Akaun II yang melibatkan 30 peratus caruman ahli juga boleh dikeluarkan untuk pembiayaan perumahan, kesihatan, pendidikan dan apabila cukup umur 50 tahun.

Petikan - Utusan Malaysia 19 Oktober 2007

HANYA 36% RANCANG PESARAAN

Menurut kajian sebuah syarikat insurans, hanya 36 peratus daripada pekerja di negara ini membuat perancangan awal bagi menghadapi persaraan mereka kerana menganggap tempoh persaraan masih jauh lagi.
Sementara 84 peratus lagi gagal merancang masa depan selepas persaraan termasuk tidak berupaya menguruskan wang caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan baik hingga menyebabkan ada antara mereka hidup miskin.

TERPAKSA KERJA SEMULA TAMPUNG HIDUP

Kira- kira satu pertiga daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara terpaksa bekerja semula kerana gagal menguruskan kewangan mereka dengan baik bagi kegunaan hingga ke akhir hayat.
Berdasarkan pemantauan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tiga daripada 10 pencarum KWSP yang bersara terpaksa bekerja semula untuk meneruskan hidup mereka.
Golongan ini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi pengawal keselamatan walaupun usia sudah meningkat.
Antara puncanya disebabkan kegagalan pengurusan kewangan seperti gagal dalam perniagaan selepas bersara, meminjamkan wang kepada anak-anak dan berbelanja mengikut nafsu. Ada di kalangan mereka selepas bersara terus membeli aset yang mahal seperti rumah dan kereta mewah. Ini kerana mereka mendapati jumlah wang dicarum mencecah ratusan ribu ringgit. Tanpa sedar duit yang sebegitu banyak jika tidak diurus dengan betul boleh habis sekelip mata.

KELUAR SIMPANAN UMUR BERSARA MENINGKAT

Jumlah pengeluaran simpanan setelah pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencapai umur persaraan 55 tahun terus meningkat pada tahun 2006 berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Laporan Tahunan KWSP 2006, pihaknya telah meluluskan 139,818 permohonan untuk pengeluaran simpanan pada tahun berkenaan dengan nilai kira-kira RM5.38 bilion.
Pengeluaran persaraan ini bertambah sebanyak 11.39 peratus berbanding hanya RM4.83 bilion pada 2005, katanya.
Dalam pada itu, pihak KWSP meluluskan 689,104 permohonan pengeluaran simpanan pada tahun 2006 yang melibatkan pelbagai jenis keluaran.
Laporan itu menyebut, ia membabitkan persaraan, perumahan, pelaburan, pendidikan dan kesihatan melibatkan simpanan RM12.15 bilion.
Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 4.71 peratus berbanding pengeluaran bernilai RM12.75 bilion pada 2005.
Mengenai pengeluaran secara khusus pada 2006, jumlah yang dikeluarkan untuk perumahan ialah sebanyak RM3.29 bilion dan RM1.72 bilion pula dikeluarkan kerana cukup umur 50 tahun.
Sebanyak RM2.19 bilion pula dikeluarkan untuk dilaburkan melalui pengurus dana luaran, RM140 juta (pendidikan) dan RM45.5 juta (kesihatan).
Dalam perkembangan berkaitan, pada 2006 sebanyak 11,196 kes majikan tidak mencarum telah didaftarkan di mahkamah untuk tindakan di bawah Akta KWSP 1991.
Menurut laporan itu, pada tahun berkenaan KWSP juga mengemukakan perintah larangan keluar negara kepada 574 pengarah syarikat yang ingkar membuat caruman.

GOLONGAN PESARA KERAJAAN NIKMATI KEUNTUNGAN PERSARAAN

Golongan pesara kerajaan merupakan antara golongan yang bertuah di negara ini apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam pada Julai lalu berbanding swasta yang bergantung sepenuhnya kepada simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ini disebabkan pengumuman kerajaan bagi kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam antara 7.5 dan 35 peratus, berkuat kuasa 1 Julai lalu turut melibatkan golongan pesara.
Mereka turut menikmati faedah dengan kenaikan gaji yang diumumkan apabila kadar bayaran pencen turut dinaikkan selaras dengan kenaikan gaji kakitangan awam.
Mengikut laporan perbelanjaan cawangan kewangan dan akaun bahagian pencen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perbelanjaan kerajaan bagi faedah persaraan termasuk pencen meningkat kira-kira RM1 billion pada tahun 2007.
Difahamkan unjuran perbelanjaan kerajaan bagi faedah persaraan termasuk pencen pada tahun 2007 adalah kira-kira RM6.7 billion ringgit.
Pada tahun ini, sempena perayaan Aidilfitri bayaran pencen bagi pesara akan diberi pada 4 Oktober untuk meringankan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh golongan pesara.
Pada tahun 2006 pula kerajaan membelanjakan kira-kira RM5.9 billion manakala RM5.7 billion pada tahun 2005 untuk pembayaran faedah persaraan termasuk pencen untuk golongan pesara negara ini.
Ahli keluarga bagi pesara kerajaan juga beruntung kerana apabila isteri atau suami mereka meninggal dunia balu atau duda layak menerima pencen terbitan seumur hidup sebanyak 100 peratus dari pencen asal atau diselaras dalam tempoh 12 tahun enam bulan dari tarikh persaraan dan 70 peratus selepas itu.
Malah anak bagi pekerja kerajaan juga layak untuk mendapat wang pencen ibu bapa mereka sehingga berumur 21 tahun jika ibu bapa mereka meninggal dunia dalam persaraan.
Golongan pesara kerajaan juga mendapat kemudahan rawatan percuma di klinik dan hospital kerajaan dimana kerajaan membelanjakan kira-kira RM53 juta untuk rawatan perubatan bagi mereka pada tahun 2006.
Ini menunjukkan golongan pesara kerajaan beruntung kerana bayaran pencen untuk mereka yang diuruskan oleh kerajaan dijamin dan akan dimasukkan terus ke dalam akaun mereka setiap bulan.
Golongan pesara juga mendapat jaminan kewangan kerana mereka layak menerima wang pencen seumur hidup tanpa terputus bekalan kewangan.

Petikan- Utusan Malaysia 20 Oktober 2007

No comments: