PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071009

4. Budaya Membaca

BUDAYA MEMBACA PENTING UNTUK MAJU

Minat membaca masyarakat, terutamanya generasi muda baru semakin merosot dan membimbangkan. Dalam era serba canggih dan maju seperti teknologi maklumat dan komunikasi, bukan sahaja masyarakat malas membaca tetapi juga menulis dan mengingat. Apa tidaknya, perkataan di singkatkan, mesej boleh disimpan bukan di kepala tetapi dalam 'gadget' sebesar jari. Malah tidak perlu kesana kesini, hantar sahaja mesej bergambar (MMS) atau melalui komunikasi video (3G). Terlalu canggih dan maju, terlalu canggih dan pantas kita lupa bahawa kita sekarang bergantung kepada mesin dan teknologinya.

Seperti apa yang ditulis oleh DR. SARJIT SINGH GILL, pensyarah Antropologi dan Sosiologi di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam ruang recana bertaikh 8 Okt. 2007,
Budaya membaca telah berubah paksinya kerana tabiat membaca di kalangan generasi muda zaman kini cukup berbeza berbanding generasi belia pada era tahun 1960-1980-an.
Yang pasti, kini generasi muda mempunyai ‘citra’ budaya membaca yang mementingkan bahan yang bercorak hiburan berbanding ilmu pengetahuan yang boleh memandu kehidupan mereka. Inilah realiti sosial yang perlu diterima oleh semua pihak apabila kita terus-menerus mengharungi pelbagai onak dan duri untuk menikmati wahana pembangunan dan kesan globalisasi.


Soalnya, mengapakah generasi muda tidak mengamalkan budaya membaca yang sihat, sebaliknya lebih gemar membaca untuk sekadar lulus peperiksaan semata-mata?
Senario ini juga berlaku di kalangan penuntut universiti sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan pelbagai kebimbangan sosial di kalangan pensyarah.
Bukankah kita semua yang seharusnya bertanggungjawab kerana tidak menjadikan budaya membaca itu sebagai satu hobi yang sihat?
Budaya membaca yang aktif memberikan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian seperti penjanaan idea, kemahiran berfikir dan berkomunikasi. Semua persoalan ini perlu direnung dan difikirkan secara terbuka untuk kesejahteraan masyarakat.


Sebenarnya, tahap pembacaan generasi muda meningkat, tetapi peningkatan itu lebih cenderung ke arah bahan yang berbentuk hiburan. Di kedai buku, majalah hiburan mendapat tumpuan. Manakala majalah bersifat maklumat dan akademik, seperti Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Pemikir, Reader Digest, Newsweek, Health Today dan National Geography hanya mendapat jelingan sepi.
Inilah sikap dan pemikiran generasi moden yang tidak menghargai nilai ilmu yang terkandung dalam majalah berbentuk ilmiah.


Menurut Dr. Nobaya Ahmad, Ketua Laboratori Pendidikan Komuniti dan Pengajian Belia, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, fenomena generasi muda yang gemar membaca majalah hiburan sebagai satu eskapisme kehidupan realiti masing-masing.
Misalnya mereka gemar menonton wayang seperti filem Hindustan untuk melupakan tekanan dan masalah yang dihadapi. Sebaliknya majalah dan buku akademik pula dirasakan terlalu ‘berat’ serta tidak memberikan sesuatu yang boleh menghiburkan diri.
Tegas Dr. Nobaya lagi, generasi muda pada tahun 1960-an dan 1970-an lebih aktif membaca kerana persekitaran ‘hiburan’ kurang ketika itu. Akan tetapi, kini persekitaran sosial semakin meluas dan generasi muda disaji dengan pelbagai jenis hiburan dalam pelbagai medium sehingga membawa kesan jangka panjang dari aspek agama dan psikologi.
Pandangan Dr. Nobaya Ahmad itu ada kebenarannya kerana keadaan sedemikian kian menular, lebih-lebih lagi dalam kalangan siswazah yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara. Malah majalah hiburan yang berunsur tahyul juga popular di kalangan pembaca. Jika difikirkan kesan jangka panjang, hal ini mungkin melekakan dan menjejaskan pemikiran pembaca. Walaupun tidak dinyatakan secara bertulis, hakikatnya pendidikan kini bertujuan melatih pelajar mengumpul dan menghafal data maklumat. Orientasi pendidikan lebih mementingkan sistem pemarkahan dan pelajar tidak diajar berfikir secara kreatif dan jauh lagi kritis.
Sebaliknya, pendidikan kini lebih cenderung untuk melatih tenaga manusia yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan negara terutama sektor ekonomi, perniagaan dan perusahaan. Oleh hal demikian, perkara ini ‘mematikan’ minat mereka untuk membaca bahan bacaan yang berbentuk ilmiah dan berusaha untuk mendapatkan maklumat tambahan kerana pelajar zaman ini dimanjakan dan ‘disuapkan’ dengan ilmu yang diperoleh daripada guru.
Akibatnya, apabila berjaya melangkah masuk ke menara gading, golongan ini semakin lebih ‘selesa’ sehingga menyebabkan daya fikir serta tahap pembacaan terbatas sehingga kualiti graduan tempatan kita dipertikai dan dipersoalkan.
Namun, langkah murni pihak Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan program kemahiran insaniah perlu dipuji dan disokong secara bersepadu oleh semua pihak.
Program tersebut bertujuan membantu ‘mendewasakan’ pemikiran dan hala tuju siswazah agar mementingkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta menekankan aspek pembelajaran sepanjang hayat.


Pemupukan minat membaca perlulah dilakukan sejak dari kecil. Tempoh ini amat penting kerana ketika ini kanak-kanak lebih mudah diajar dan akan sentiasa menuruti apa-apa yang dikehendaki. Keberkesanannya bergantung pada teknik yang digunakan.
Hakikat pahit yang perlu ditelan adalah masyarakat sebenarnya tidak mencintai ilmu, tetapi ‘menggunakan’ ilmu untuk berseronok dengan hiburan dan kesenangan kebendaan. Semoga generasi muda memikirkan kembali erti kemerdekaan dan perjuangan generasi lampau agar mereka memahami maksud sebenar kebebasan dan bukannya leka dengan budaya hiburan.

No comments: