PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA

PANDU CERMAT, SAYANGKAN NYAWA
INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG

INGAT ORANG YANG TERSAYANG
PASTIKAN ANDA DAN SEMUA PENUMPANG MENGGUNAKAN TALI PINGGANG KELEDAR

20071021

12. DASAR PEKERJA ASING DIPERSOAL

FORUM

Dasar pekerja asing dipersoal - Surat 1

SETELAH beberapa hari orang ramai membangkitkan isu pendatang asing menerusi Utusan Malaysia, rakyat makin tertanya dan terus berteka-teki sampai bila permasalahan ini akan berterusan.
Bagi rakyat kerdil seperti saya, tiada apa yang mampu dilakukan selain berharap kerajaan akan mengubah dasar pengambilan pekerja asing dengan suatu dasar yang dapat menggunakan modal insan tempatan dengan optimum.
Ia seterusnya dapat mengurangkan pengangguran dan gejala yang kurang sihat di kalangan remaja atau belia lepasan sekolah serta IPT.
Bagaimanapun satu persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini, sebelum pengambilan pekerja asing diperkenalkan di Malaysia sekitar penghujung tahun 90-an.
Apakah dasar yang diguna pakai untuk membolehkan kemasukan mereka ini? Sekiranya merujuk kepada dasar kerajaan seperti Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Perindustrian Negara tidak terkandung pun di dalamnya bahawa salah satu elemen bagi mencapai matlamat kepada dasar-dasar tersebut adalah dengan mengambil tenaga kerja asing, bahkan Dasar Pembangunan Malaysia yang di dalamnya terkandung Wawasan 2020 juga tidak menyebut perkara yang sama.
Justeru, apakah asas kepada keputusan mengambil pekerja asing oleh kerajaan?
Memetik Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia oleh Intan, strategi bagi Dasar Pembangunan Nasional (DPN) antaranya:-
Perkara iii) Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperoleh daripada pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
Perkara vi) Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat.
Jika pernyataan di atas benar dan agensi-agensi kerajaan harus akur dalam pelan perancangan serta setiap tindakan mereka, maka siapakah yang melanggar batasan ataupun mengambil kesempatan dengan adanya loop-hole atau grey-area bagi menghalalkan pengambilan tenaga kerja asing ini?
Sepatutnya tindakan atau respons yang perlu diambil sebelum sesuatu akta atau dasar diluluskan ialah dengan mengatakan tidak!
Dan bukannya membiarkan sahaja untuk satu tempoh yang lama dan kemudiannya baru terkocoh-kocoh dasar komprehensif mengenai pengambilan pekerja asing hendak digubal dan dibentang di Dewan Rakyat. Kenapa masa hendak ambil tidak ditanya kepada rakyat?
Sekiranya perkara ini dilakukan secara ad-hoc disebabkan kegawatan ekonomi pada tahun 1997 maka ia patut telah lama dihentikan dan perlu ada batas waktu.
Ataupun apakah dalam membuat keputusan bagi mengambil tenaga kerja asing ini terdapat ‘musang berbulu ayam’ yang dengan sengaja mengetepikan kepentingan nasional demi kepentingan peribadi, sekali gus memejamkan mata terhadap dasar-dasar kerajaan yang telah sedia ada.
Mungkin dari segi ekonomi, segelintir usahawan korporat dan konglomerat telah menyuntik jarum atau mengugut agar pintu dibuka seluas-luasnya bagi tenaga kerja asing bagi menyaingi negara China yang muncul sebagai gergasi ekonomi baru di Asia.
Ini tidak mustahil dengan penutupan dan perpindahan beberapa kilang mikrocip di Pulau Pinang ke Thailand dan China kerana kos buruh yang lebih rendah.
Kita juga telah menyaksikan pembekuan permit kerja warga Bangladesh serta-merta tetapi adakah kemasukan mereka masih berterusan?
Sepertimana berulangnya kisah Import Permit (IP) kerana permit yang dikeluarkan sebelum ini masih sah dan pembekuannya bukan secara back-dated. Pendatang dari negara lain bila lagi?
Selain itu, Taraf Penduduk Tetap (PR) bagi warga Indonesia juga perlu dikaji semula, tempoh lima tahun bagi kelayakan memohon adalah terlalu singkat dan permohonan yang diluluskan mesti dihadkan. Apakah kita mempunyai rekod kelulusan ini? Mungkinkah mencapai angka ribu atau juta? Siapa yang tahu?
Kesimpulannya, daripada apa yang telah berlaku di Malaysia hari ini membuktikan kerajaan Malaysia sentiasa bersikap lembut dan bermurah hati untuk memakmurkan warga asing yang akhirnya akan membawa padah kepada rakyat dan negara.
Mungkin kita perlu belajar dengan Singapura atau Lee Kuan Yew untuk menangani isu pendatang asing dan berani katakan ‘tak nak’ kepada pendatang asing.

Dasar pekerja asing dipersoal - Surat 2

SAYA sangat bimbang membaca kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam Utusan Malaysia kelmarin tentang kebanjiran pekerja asing yang meningkat dengan begitu pesat sehingga menjadi 25 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara ini.
Di negara Jerman sewaktu masa dulu, apabila bilangan pekerja asing meningkat ke tahap 10 peratus jumlah tenaga kerjanya, ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang implikasinya terhadap kestabilan sosial negara itu.
Saya juga risau jika jumlah pekerja asing terlalu tinggi, ia akan menjadi satu penghalang kepada kenaikan gaji dan taraf hidup di kalangan pekerja, akibatnya mereka akan terus terperangkap dalam kemiskinan.
Sepatutnya apabila ekonomi negara berkembang dengan pesat seperti yang berlaku di Malaysia, ia akan mengetatkan pasaran buruh dan menaikkan paras gaji.
Tetapi ia tidak berlaku sedemikian kerana majikan boleh mengatasi segala desakan kenaikan gaji dengan membawa masuk pekerja asing bila-bila masa sahaja.
Apabila terdapat keadaan sedemikian di mana gaji tertekan dan dilihat terlalu rendah, banyak tenaga kerja tempatan terutamanya kaum muda akan berasa enggan untuk mencari kerja dan mereka bersedia menganggur seberapa lama yang boleh sambil menunggu peluang kerja yang lebih sesuai.
Ini satu keadaan yang tidak diingini kerana ia boleh merosak kehidupan rakyat muda kita.
Kerajaan harus memberi perhatian yang serius kepada masalah ini dengan membuat rancangan untuk mengurangkan pergantungan ekonomi atas pekerja asing demi memberi peluang kepada rakyat miskin tempatan dapat kerja dengan gaji yang munasabah dengan taraf Malaysia sebagai negara yang maju.

Dasar pekerja asing dipersoal - Surat 3

BANYAK telah diperkatakan dan dipersoalkan oleh rakyat Malaysia tentang kebanjiran rakyat asing yang semakin hari semakin serius. Jika tidak dibendung segera berkemungkinan kita akan menghadapi berbagai-bagai masalah sosial dan jenayah yang lebih buruk.
Jangan nasi sudah menjadi bubur nanti baru kita hendak terkial-kial untuk menyelesaikan masalah dan ketika itu menuding jari untuk menutup kelemahan diri di antara satu sama lain akan berlaku.
Kita perlu bertindak segera mengeluarkan pendatang asing yang masuk secara haram termasuk ratusan ribu orang yang tinggal lebih masa serta mengetatkan lagi pintu keluar masuk negara.
Dicadangkan semua pekerja asing termasuk yang masuk secara sah disenaraikan di mana lokasi mereka tinggal dan perlu membuat laporan setiap bulan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk rujukan dan memudahkan pergerakan untuk memantau kedudukan mereka.
Garis panduan baru yang memperketatkan lagi kemasukan pekerja asing perlu dilaksanakan segera supaya negara kita ini benar-benar merasa aman dan mengembalikan semula hak serta peluang pekerjaan itu kepada rakyat tempatan.
Hadkan jumlah pekerja yang kita sangat memerlukan sahaja dan pastikan pekerja ini mempunyai kemahiran yang lengkap serta pastikan juga tidak ada rekod jenayah.
Berilah peluang anak watan untuk mendapatkan pekerjaan dan jangan asyik memikirkan keuntungan sahaja dengan mengambil pekerja asing.

Dasar pekerja asing dipersoal - Surat 4

SAYA begitu tertarik dengan kenyataan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam yang menggesa kerajaan bertindak segera terhadap kebanjiran pendatang asing di Malaysia sekali gus menidakkan peluang pekerjaan rakyat Malaysia.
Seperti yang diperkatakan oleh Datuk N. Siva Subramaniam, sektor perkhidmatan di pasar raya besar dan kawalan keselamatan sudah dikuasai pendatang asing.
Adakah wajar sektor yang membabitkan keselamatan rakyat Malaysia diserahkan kepada orang asing? Banyak kawasan perumahan yang mempunyai pengawal keselamatan boleh dikatakan majoritinya pengawal keselamatan rakyat asing.
Bagaimana mereka ini boleh jadi pengawal keselamatan? Apa kelayakan yang membolehkan mereka menjadi pengawal keselamatan? Adakah mereka ini boleh dipercayai?
Saya merasakan keselamatan saya dan rakyat Malaysia semakin terancam apabila pengawal keselamatan itu adalah rakyat asing. Saya berharap kerajaan mengambil berat tentang perkara ini. Sektor perkhidmatan keselamatan tidak sepatutnya diberikan kepada rakyat asing.

Dasar pekerja asing dipersoal - Surat 5

SUKA saya menarik perhatian dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia yang mendapat liputan meluas mengenai isu pendatang asing.
Barangkali rakyat Malaysia sudah mulai menunjukkan rasa bosan dengan sikap pendatang asing yang begitu ramai sehingga ke mana sahaja pelosok rantau ada saja pendatang asing.
Kita pun susah hendak menentukan yang mana sah dan yang mana pendatang haram. Pokoknya, kesimpulan yang boleh diterjemahkan ialah rakyat Malaysia menolak kebanjiran pendatang asing di negara ini.
Saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan yang lebih berkesan lagi dengan tidak membenarkan pendatang asing dibawa masuk secara sah mahupun secara haram.
Terdapat syarikat-syarikat yang begitu ghairah sekali mengaut keuntungan dengan membawa pendatang asing ini ke sini.
Baru-baru ini saya melalui Pusat Penapisan Gas di Sungai Udang, Melaka. Waktu makan tengah hari majoriti pendatang asing keluar makan tengah hari di luar.
Sepatutnya anak-anak kampung tersebut diberi keutamaan untuk bekerja di sana, bukan orang asing.
Ini adalah salah satu punca anak tempatan khususnya bumiputera tidak mendapat peluang pekerjaan walhal Petronas dipunyai dan dikuasai oleh kerajaan

Petikan : Forum Utusan Malaysia 20 Oktober 2007

1 comment:

4th Man said...

Kesilapan Pengawal Keselamatan Asing "Blackwater' Amerika Syarikat di bumi Iraq yang bermaharajarela patut menjadi iktibar kepada kita rakyat Malaysia.

Ashi